Anak tunjuk kelakuan ganjil sebelum jatuh tingkat 11
Bernama
Januari 31, 2023 22:15 MYT
Januari 31, 2023 22:15 MYT
JOHOR BAHRU: Kanak-kanak lelaki 12 tahun yang meninggal dunia akibat terjatuh daripada tingkat 11, Rumah Pangsa Larkin, di sini, kelmarin, menunjukkan kelakuan ganjil sebelum disedari terjatuh oleh ibunya.
Ruhayati Rahmat, 56, berkata anak bongsunya, Muhammad Aizuddin Abdul Hadi, yang tidak bersekolah kerana demam, berada bersamanya di rumah dan disangka sedang berehat di dalam bilik setelah pulang daripada klinik berdekatan.
Suri rumah dua anak itu, bagaimanapun, terperanjat dan menyedari anaknya terjatuh selepas dimaklumkan oleh jiranya yang datang ke rumah kira-kira jam 7 malam.
"Selepas pulang ke rumah bawa dia dari klinik dan pasar, dia cakap hendak tidur sebab badan rasa sejuk. Cuma yang pelik dan ganjil, dia bangun semula dan berlari banyak kali ke tandas dengan memakai stokin.
"Saya tegur Aizuddin kenapa awak ini macam kena sampuk? Tetapi dia tidak jawab apa-apa dan selepas itu saya ingatkan dia sudah masuk ke bilik semula, tetapi tidak lama kemudian jiran ketuk pintu rumah kata anak jatuh," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.
Ruhayati berkata beliau bergegas lari turun ke bawah, sebelum melihat anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri, di sini, terlentang di atas sengkuap (awning) kedai runcit yang terletak di bahagian bawah flat tersebut.
Bagaimanapun, dia tidak pasti bagaimana anaknya itu boleh terjatuh kerana tembok di belakang rumahnya agak tinggi.
Beliau dan suami Abdul Hadi Mat Salleh, 50, bagaimanapun, reda dan berharap agar tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi berhubung kematian anaknya itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah, menziarahi dan menghulurkan sumbangan kepada kedua ibu bapa mangsa.
Pada kejadian Ahad lalu, kanak-kanak tersebut patah tangan kiri selepas terjatuh dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada jam 12.30 tengah malam, IIsnin.
Jenazah Izzuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin, di sini, petang tadi.
-- BERNAMA