"Anak tak mandi ke sekolah, saya pula ke tempat kerja cuma basuh muka"
Rahimah Abdullah
Ogos 25, 2018 15:15 MYT
Ogos 25, 2018 15:15 MYT
Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 menggesa pihak berkuasa dan bakal wakil rakyat Seri Setia membantu menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang disifatkan kritikal pada masa ini.
Ia berikutan, gangguan bekalan air berkenaan menjejaskan kehidupan mereka terutamanya penghuni yang tinggal di tingkat yang tinggi.
Seorang penduduk, Juwita Shamsudin mendedahkan, ada satu ketika, anaknya tidak mandi ke sekolah kerana ketiadaan air.
Malah, dia sendiri pernah ke tempat kerja dengan hanya basuh muka.
“Kadang-kadang pihak berkenaan tidak beritahu bahawa akan berlaku ketiadaan air, jadi kita tidak sempat nak simpan air. Maka, anak dan saya sendiri sampai pergi sekolah dan tempat kerja dengan tidak mandi. Malah, apabila balik kerja petang tu, masih tiada air juga,” katanya kepada Astro AWANI.
Masalah gangguan bekalan air di PPR itu juga berlanjutan sejak tahun 2013.
Walaupun pihak berkenaan turut menyalurkan air melalui lori simpanan air, namun langkah itu dilihat sebagai sementara dan penduduk menuntut cara penyelesaian jangka panjang.
Bagi seorang lagi penduduk, Hamidah Abdul Aziz, masalah bekalan air di PPR berkenaan bukan perkara baharu dan banyak aduan telah dibuat kepada pihak berkenaan namun ia belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Sekarang sudah tukar pam baharu, tetapi apa masalah lagi? Saya terpaksa ambil air dari masjid surau dan sebagainya untuk mandi.
“Lebih sukar, kami terpaksa mengangkut air dari bawah untuk bawa naik atas rumah. Kadang-kadang lif sini pun bermasalah,” ujarnya.
Penduduk sudah mengadukan isu berkenaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dan masih menantikan tindakan selanjutnya akan diambil.
Dalam pada itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah mengenal pasti masalah gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk PPR Lembah Subang 1.
“Semasa saya belum menjadi calon lagi, saya, dan Menteri KPKT, Zuraida Kamarudin telah mengenal pasti masalah utamanya iaitu masalah lif dan tangki air.
“Kalau saya dipilih pengundi Seri Setia pada 8 September nanti, saya dan KPKT akan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya kepada Astro AWANI semasa melawat kawasan PPR Lembah Subang 1 di sini hari ini.
Menurut Halimey, sikap dolak dalik KPKT di bawah kerajaan sebelum ini untuk menyelesaikan masalah berkenaan menyebabkan isu gangguan bekalan air tidak berkesudahan.
“Apabila PH diberi mandat ini, tidak ada lagi nak tolak sana, tolak sini sebab kerajaan adalah PH. Jadi untuk selesaikan masalah ini ia lebih mudah,” ujarnya.