Anak sulung 'Abuya' tunjuk lokasi kurungan di perkampungan GISB

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 20, 2024 16:25 MYT
Ummu Atiyah tiba di Kampung Batu Hampar Dalam, dekat Beruas, untuk membantu siasatan polis. - Gambar/ Astro AWANI
MANJUNG: Anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad, Ummu Atiyah, dibawa ke perkampungan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISB) di Kampung Batu Hampar Dalam, Beruas, di sini, hari ini untuk membantu siasatan polis.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 yang membawa Ummu Atiyah, 41, tiba kira-kira jam 2.38 petang, diiringi lima kenderaan polis yang diketuai Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Taiping, Asisten Superintendan, N Suder.
Terdahulu, media difahamkan wanita itu bersama tiga rakannya tiba di Balai Polis Padang Gajah, Trong yang terletak 13 kilometer dari perkampungan, kira-kira jam 11 pagi, untuk diambil keterangan.
BACA: Anak sulung 'Abuya' tunjuk lokasi kurungan di Batu Hampar esok - Razarudin
[TERKINI] Anak sulung 'Abuya' tunjuk lokasi kurungan pada Ahad - KPN
Sebaik tiba di perkampungan GISBH, dia yang memakai kebarung kelabu terus dibawa memasuki kawasan perkampungan untuk menunjukkan rumah dan beberapa lokasi lain.
Wartawan bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki kawasan perkampungan itu yang dipasang pita kuning oleh pihak polis.
Media turut difahamkan, Ummu Atiyah menunjukkan tempat kejadian seperti yang dinyatakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, termasuk rumah satu tingkat, tempat dia dikatakan dikurung selama sebulan.
Selesai menunjukkan lokasi-lokasi itu, mereka kemudiannya meninggalkan perkampungan berkenaan kira-kira jam 3.07 petang
Sebelum itu, Ummu Atiyah sempat mengucapkan terima kasih kepada pemberita dan memberitahu dia hendak balik ke Kuala Lumpur.
Perkampungan diarah henti operasi sejak September
Pada Sabtu, Razarudin berkata, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyah, akan ke sebuah perkampungan GISB yang terletak di Batu Hampar, Perak pada Ahad.
Jelas beliau, kehadiran mangsa ke lokasi kejadian adalah bagi membantu siasatan.
#GISB #anak abuya #Ummu Atiyah #kes kurung
;