Anak sempat main kejar-kejar dengan Zayn Rayyan sebelum hilang - Saksi

Yasmin Natasha
Mac 11, 2025 18:37 MYT
Saksi memaklumkan anaknya yang berusia 10 tahun sempat bermain kejar-kejar dengan Zayn Rayyan (foto) di Blok R sementara menunggu ketibaan van sekolah. -Gambar fail/Sinar Harian
PETALING JAYA: Saksi pendakwaan ke-21 memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen, di sini, bahawa anak lelakinya sempat bermain dengan arwah Zayn Rayyan Abdul Matiin, pada tengah hari 5 Disember 2023.

Ringkasan AI
  • Saksi pendakwaan ke-21, Nor Zaini Zainol, memaklumkan anaknya sempat bermain dengan Zayn Rayyan pada 5 Disember 2023.
  • Nor Zaini melihat Zayn Rayyan pulang dari sekolah bersama ibunya dan bermain di taman permainan sebelum dilaporkan hilang.
  • Perbicaraan di hadapan hakim Syahliza Warnoh akan bersambung esok.

Suri rumah, Nor Zaini Zainol, 39, memaklumkan bahawa anaknya yang berusia 10 tahun bermain kejar-kejar dengan Zayn Rayyan di Blok R sementara menunggu ketibaan van sekolah.
Menurutnya, pada jam 12.05 tengah hari, dia terlihat Zayn Rayyan pulang dari sekolah bersama ibunya dengan menaiki motosikal yang diparkir di hadapan Blok S Apartment Idaman, Damansara Damai dan terus ke taman permainan.
“Pada ketika itu, kira-kira jam 12.13 tengah hari, saya ada panggil anak saya kerana van sekolahnya sudah sampai.
"Anak saya datang dari belakang kemudian tepuk saya dan memberitahu dia sedang kejar seorang budak.
“Mama, saya ada kejar budak,” kata saksi itu ketika prosiding perbicaraan hari ini.
Namun, pada jam 12.45 tengah hari, Nor Zaini dimaklumkan oleh suaminya melalui aplikasi WhatsApp yang memberitahu bahawa kanak-kanak autistik itu telah hilang.
Haresh Mahadevan (peguam bela): Semasa Zayn Rayyan dilaporkan hilang, adakah puan tahu itu Zayn?
Nor Zaini: Ya, saya tahu, saya terkejut.
Perbicaraan di hadapan hakim Syahliza Warnoh bersambung esok.
#Zayn Rayyan #mahkamah #abai kanak-kanak #Nor Zaini Zainol
;