“Anak saya tidak mengatasi undang-undang” - Saifuddin Nasution

Astro Awani
Januari 11, 2025 10:15 MYT
Menurut Saifuddin, anaknya tidak mengatasi undang-undang dan sekiranya terdapat laporan ke atasnya, polis bertanggungjawab untuk menyiasat dengan telus dan seadilnya. - Gambar fail Bernama
SEPANG : Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, anaknya tidak mengatasi undang-undang dan sekiranya terdapat laporan ke atasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab untuk menyiasat dengan telus dan seadilnya.
Menteri Dalam Negeri itu juga berkata, sekiranya siasatan itu mendapati ada asas, justeru, biarlah proses undang-undang mengambil tempat.
"Saya berpegang kita semua tidak kebal undang-undang termasuk anak saya sendiri.
"Merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) kertas siasatan sudah pun dilengkapkan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
"Biarlah ia mengikut proses. Sekiranya siasatan itu mendapati ada asas biar proses undang-undang mengambil tempat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Tinjauan Gate Kod QR Myborderpass dan Sistem Smart Q di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Saifuddin berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anaknya seperti yang tular di laman media sosial.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan Razarudin bahawa polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.
Menurut Razarudin, kertas siasatan kes ini sudah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, pada Isnin, selepas laporan polis yang dibuat oleh pengadu pada 1 Januari lalu.
Terdahulu tular dalam laman sosial Telegram kes membabitkan anak seorang menteri, yang dilaporkan mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungannya sejak tujuh minggu lalu.
Pada masa ini siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
#Saifuddin Nasution #anak Saifuddin Nasution #ugut wanita #kandungan
;