'Anak saya masih menangis hilang ayah, tapi anda jadikan MH370 jenaka'

Sinar Harian
Jun 8, 2023 17:00 MYT
Intan Maizura (kiri) meluahkan perkara itu susulan tindakan melampau pelawak asal Singapura, Jocelyn Chia yang memperlekeh dan menghina Malaysia menerusi persembahan komedi. - Sinar Harian
SHAH ALAM: "Anak saya Muhammad masih lagi menangis atas kehilangan ayahnya dan anda menjadikan MH370 ini sebagai jenaka," kata Intan Maizura Othaman, isteri kepada salah seorang pramugara yang berada dalam pesawat MH370.
Intan Maizura meluahkan perkara itu susulan tindakan melampau pelawak asal Singapura, Jocelyn Chia yang memperlekeh dan menghina Malaysia menerusi persembahan komedi.
Menurutnya, Jocelyn sepatutnya mempunyai empati dan tidak seharusnya membuat jenaka di atas kesedihan orang lain.
"Tidak kira betapa jahatnya anda tetapi jangan sebut mengenai MH370 atau buat lawak mengenainya.
"Anda tidak sepatutnya lakukan lawak jenaka ini untuk mendapat 'pengiktirafan' daripada orang lain. Mempunyai hati dan menetap di negara sedang membangun lebih baik daripada duduk di negara maju tetapi menjadi manusia yang keji," katanya menerusi hantaran video di Instagram dan TikTok.
Intan Maizura juga menyifatkan tindakan wanita yang kini bukan lagi warganegara Singapura itu sebagai memalukan selain turut meminta orang ramai untuk hentikan normalisasi perkara seumpama itu dan menjadi masyarakat lebih peka dengan perkara sensitif.
"Anda tahu berapa ramai ibu yang masih menangis sehingga kini? Anda tidak tahu kerana tidak mempunyai empati dan perasaan. Atau awak tidak mempunyai keluarga pun, kalau mempunyai keluarga saya percaya mereka sudah tentu malu dengan apa yang anda lakukan," katanya.
Menerusi video tular berdurasi satu minit 29 saat yang dimuat naik di laman sosial TikTok, pelawak itu menyifatkan pembangunan Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura yang bergelar negara maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.
Lebih melampau, wanita berkenaan turut menggunakan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai modal jenaka sehingga menimbulkan kemarahan warganet.
 -- Sinar Harian
#Pelawak Singapura #Jocelyn Chia #waris MH370 #ntan Maizura Othaman
;