Anak saudara nekad masuk rumah terbakar, selamatkan wanita lumpuh

Adie Sufian Zulkefli
Mei 20, 2022 17:16 MYT
Mohamadul Ehsan, memaklumkan kebakaran memusnahkan hampir 90 peratus rumah berkenaan dan punca kejadian masih dalam siasatan. - Gambar/ JBPM
PENDANG: Seorang wanita warga emas berusia 60 tahun yang lumpuh anggota badan nyaris maut apabila terperangkap dalam rumahnya yang terbakar di Batu 18, Kampung Sungai Baru, dekat sini, hari ini.
Bagaimanapun dia bernasib baik apabila anak saudaranya yang sedang bersiap untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat terdengar jeritannya meminta tolong dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata lelaki berusia 20 tahun itu tinggal berhampiran rumah mangsa.
"Difahamkan anak saudara wanita itu nekad masuk ke dalam rumah berkenaan lalu mendukung mangsa yang tinggal bersendirian, keluar dari rumah berkenaan," katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.30 tengah hari, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang dan BBP Guar Chempedak dihantar ke lokasi.
"Setibanya anggota di tempat kejadian didapati api sedang marak membakar keseluruhan rumah setingkat itu.
“Api berjaya dipadamkan 10 minit kemudian dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tanah Merah, Pendang, Kota Sarang Semut dan Guar Chempedak,” katanya.
Mohamadul Ehsan, memaklumkan kebakaran memusnahkan hampir 90 peratus rumah berkenaan dan punca kejadian masih dalam siasatan.
#rumah terbakar #Pendang #anak saudara redah api #wanita lumpuh
;