Anak Sarawak diseru raikan 22 Julai dengan penuh makna - Dr Sim
Fadilah Sulaiman
Julai 22, 2022 13:20 MYT
Julai 22, 2022 13:20 MYT
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menyeru anak-anak Bumi Kenyalang mengamati sambutan Hari Sarawak dengan menjulang nilai, budaya dan tradisinya dengan cara tersendiri, sesuai peredaran zaman.
Menurutnya, hari bersejarah itu diwartakan sebagai cuti umum negeri supaya rakyat Sarawak dapat mengimbau sejarah, aspirasi dan hala tuju pembangunannya.
Walaupun diraikan hanya sehari tetapi ia melambangkan seribu satu perjuangan pemimpin tanah air terdahulu.
“Ia juga merupakan hari untuk rakyat Sarawak meraikan budaya Sarawak, tradisi dan nilai kita.
“Seperti yang anda semua tahu ia adalah cuti umum, saya pasti Tok Nan (Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem) akan berasa sangat tidak gembira jika kita mengatakan bahawa ia adalah hari untuk kita berehat dan tidur.
“Sebaliknya hari ini adalah hari untuk semua anak-anak Sarawak tidak kira di mana anda berada, untuk meraikan dengan cara tersendiri dengan nilai-nilai Sarawak,” katanya dalam ucapan ringkasnya sempena Hari Sarawak 2022 pada Jumaat.
Untuk rekod, Hari Sarawak telah diwartakan sebagai cuti umum pada tahun 2016 oleh kerajaan negeri, menandakan penubuhan kerajaan sendiri pada tarikh 22 Julai 1963.