Anak Sarawak dinobatkan Miss World Malaysia 2018
Bernama
September 9, 2018 08:29 MYT
September 9, 2018 08:29 MYT
Anak kelahiran Sarawak, Larissa Ping dinobatkan sebagai Miss World Malaysia 2018 selepas mengetepikan 11 peserta lain pada pertandingan akhir di sini, malam ini.
Gadis berusia 19 tahun itu menerima mahkota kejuaraan daripada juri, Nabila Huda dan Carmen Soo serta membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, trofi dan lain- lain hadiah sampingan.
Selain itu, Larissa turut memenangi anugerah 'Top Talent dan Ratu Fotogenik pada majlis di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini.
Beliau akan mewakili Malaysia pada peraduan edisi ke-68 Miss World 2018 di Sanya, China pada 8 Dis ini.
Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh Naomi Sim, 26, dari Sarawak dan Shennon Jade, 24, dari Kuala Lumpur.
Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 dan RM3,000 beserta trofi dan jambangan bunga.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika, berucap pada majlis itu, berkata pemenang Miss World Malaysia 2018 bakal menjadi Duta Pelancongan untuk negeri Sarawak pada tahun hadapan.
"Saya percaya melalui acara yang berprestij ini, sebagai pemenang anda mampu membantu mempromosikan negeri Sarawak di persada dunia sekali gus meningkatkankan industri ekopelancongan di negeri ini," katanya.
"Acara ini adalah acara dunia, berjuta penonton di dunia bakal menyaksikannya, saya berasa bangga Sarawak dipilih sebagai salah satu lokasi pilihan untuk penganjuran acara berprestij ini," katanya.
Pertandingan bertemakan 'Beauty with a Purpose' itu turut menyaksikan perebutan gelaran sampingan lain iaitu 'People Choice dan 'Top Model' dimenangi peserta Sarawak, Francisca Luhong James, 'Miss Personality' (Zane Wong, Kuala Lumpur) dan peserta Kuala Lumpur, Shannon Jade memenangi gelaran 'Miss Elegance'.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama isteri, Datin Patinggi Juma'ani Tuanku Bujang dan isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.
-- BERNAMA