Anak pokok durian Musang King jadi tumpuan pengunjung MAHA 2022

Bernama
Ogos 4, 2022 20:35 MYT
Pengunjung mengambil peluang singgah ke Castle of Fruits bagi melihat pokok jualan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan florikultur di MAHA 2022 di MAEPS, Serdang. - Bernama
SERDANG: Anak pokok durian Musang King dari Raub, Pahang adalah antara jenis anak pokok durian yang menjadi tumpuan pengunjung pada hari pertama Pemeran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini.
Seorang pengusaha anak pokok durian Padli Shamsuddin, 31, berkata dia membawa lebih 50 jenis anak pokok durian dan yang menjadi perhatian pengunjung adalah anak pokok Musang King Raub.
"Kelebihannya saya bawakan khas anak pokok durian Musang King ini dari Raub, Pahang. Semua orang tahu durian ini yang paling top di Malaysia," katanya kepada Bernama di Castle of Fruit dekat MAHA 2022 hari ini.
Menurut Padli setakat hari ini, hampir 100 unit anak pokok durian berjaya dijual kepada peminat durian.
Sementara itu, pengunjung MAHA 2022, Mohd Azhan Azman, 24, berkata dia begitu teruja apabila dapat membeli anak pokok durian spesis unik untuk dijadikan koleksi peribadinya di kampung.
"Dekat sini, saya beli anak pokok baka 'Lin Feng-Jiao' (udang merah), MDUR 79, Chanee dan baka Tok Merah...semua sekali ini dalam RM300 sahaja," katanya.
Pelajar Fakulti undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia itu menggunakan kesempatannya ke ekspo berkenaan dengan membeli anak pokok durian untuk ditanam di kampung halamannya di Tawau, Sabah.
Seorang pengunjung dari Tanjung Karang Mohd Tauhid Pekeh, 73, turut tidak melepaskan peluang membeli anak pokok durian 1101 dan anak pokok mangga harum manis untuk mengisi masa lapangnya.
"Sejak bersara ini, saya banyak habiskan masa di kebun untuk mengisi masa lapang dan hasil tanaman ini untuk makan sendiri sahaja," katanya.
-- BERNAMA
#durian #Musang King #MAHA 2022 #anak pokok
;