Anak perlu mesin oksigen, ibu bapa tak mampu beli
Anthea Yap
Ogos 16, 2015 17:49 MYT
Ogos 16, 2015 17:49 MYT
Hanya bergantung kepada mesin oksigen untuk menjalani kehidupan normal.
Itulah yang dihadapi Muhammad Adam Harith berusia 14 bulan yang mengidap masalah pernafasan sejak lapan bulan lalu di Rawang, Selangor.
Ibunya, Fatin Asilah berkata, Muhammad Adam terpaksa menggunakan mesin oksigen setiap masa yang kini dipinjamkan sementara oleh pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
"Dia pakai sekarang ini adalah untuk dia mengembangkan salur pernafasannya kerana tekanan yang kuat diperlukan. Jika dia tak pakai alat itu, dia akan menjadi lemah dan susah untuk bernafas.
"Dia akan duduk senyap dan tidak akan bergerak ke mana-mana. Kalau tengok anak-anak lain boleh bermain di luar, dan hanya melihat dia dalam rumah memang rasa kesian kerana tidak boleh bergerak secara bebas seperti anak orang lain," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Sabtu.
Fatin yang merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dan kos rawatan hampir RM5,000 sebulan ditanggung sepenuhnya oleh suaminya.
Muhammad Adam perlu mesin oksigen menjalani kehidupan
Bapa Muhammad Adam, Norhafizi Abu Bakar yang bekerja sebagai operator pengeluaran di syarikat swasta berkata, tarikh pinjaman mesin itu daripada PPUM akan tamat bulan ini.
"Kalau boleh saya mahu membeli mesin oksigen itu kerana tidak tahu berapa lama dia akan sihat dan memerlukan mesin itu," katanya.
Muhammad Adam kelihatan seperti bayi lain tetapi, ketahanan anak kecil ini tidak sama seperti bayi seusianya.
Demam, sudah cukup mengakibatkan dia terlantar di Wad Rawatan Rapi Padietrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selama dua bulan.
Doktor mengesahkan Muhammad Adam mengalami masalah paru-paru, saluran pernafasan sempit dan tiada injap dalam saluran pernafasannya.
Tetapi pasangan ini terus cekal dan tidak kenal erti lelah dalam membesarkan Muhammad Adam dan seorang lagi anaknya, Mohd Anas Hamizan yang berusia lima tahun.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional Fatin 10130 41 00012507 4 atau menghubunginya di talian 019-342 5845.