Anak perlu main peranan gembirakan ibu 'kesunyian' di kampung
Rahimah Abdullah
Mei 9, 2021 10:43 MYT
Mei 9, 2021 10:43 MYT
TIDAK dinafikan, sesetengah warga emas terutama golongan ibu mungkin berasa sunyi apabila sekian lama anak-anak tidak pulang ke kampung halaman berikutan larangan rentas negeri.
Ibarat "burung dalam sarang kosong," seorang ibu yang selama ini sudah biasa melihat kelibat anak-anak, mungkin merasakan hilang peranan penting itu, sekali gus merasakan hidup mula kosong.
Adakah kesunyian warga emas ini boleh membawa kepada masalah kesihatan mental?
Menurut Pakar Psikologi, Pusat Khidmat Kaunseling ACCESS, Dr Meriam Omar Din, Aidilfitri kali ini mungkin berbeza bagi sesetengah warga emas, jika selama ini sudah terbiasa dengan kehadiran anak-anak di rumah.
Jadi, dari segi psikologi, seorang ibu itu akan rasa berkurangan apabila tiada peranan itu lagi.
"Seorang ibu apabila anak-anak sudah besar, sudah tinggalkan rumah, dia tu ibarat 'burung yang berada dalam sarang kosong'.
"Kalau dulu dia sibuk mencari makan, bawa balik untuk anak dia, dan melindungi anak dia. Sama juga dengan manusia.
"Kalau seorang ibu sudah biasa ada peranan pada anak dia, tiba-tiba peranan itu semua hilang, kesannya mesti ada.
"Apabila anak yang dia biasa asuh, lindungi, yang dia biasa mengarah itu ini sudah tidak ada, dia sudah hilang peranan," katanya kepada Astro AWANI.
Malah, dalam situasi COVID-19 yang di luar kawalan ketika ini, ia boleh menyebabkan warga emas itu hidup dalam kebimbangan kerana merasakan tidak mampu menjadi isteri dan ibu yang baik.
Dengan ciri-ciri kebimbangan itu, ia menjadi lebih serius apabila dia mula nampak sesuatu yang tidak wujud seperti melihat kelibat anak, terdengar suara-suara dan mendapat ancaman yang tidak benar.
Jika ini berlaku, ibu berkenaan perlu mendapatkan bantuan psikiatri.
"Simptom-simptom termasuk kesedihan secara berpanjangan, persepsi diri yang negatif, tidak suka berkawan, suka memencil diri, tiada motivasi, tidur berlebihan, tiada selera makan dan yang lebih serius terlintas dalam fikiran untuk membunuh diri atau pernah ada cubaan membunuh diri.
"Jika kebanyakan simptom ini dialami secara berterusan selama lebih tiga minggu, perlu dirujuk kepada pakar psikiatris," kata beliau.
Justeru, dalam mendepani masalah ini dan mengelak masalah kesihatan mental kalangan warga emas, anak-anak perlu bijak memainkan peranan masing-masing dengan menggembirakan ibu mereka walau tidak dapat bersua.
Ia termasuk sentiasa menghubungi ibu mereka setiap minggu dalam tempoh 10 hingga 15 minit.
"Pada saya ini sudah sampai masanya anak mengambil peranan untuk membuat sesuatu dengan menggembirakan ibu dia. Dia lebih kenal ibu dia.
"Ada ibu yang boleh dan ada ibu yang tak boleh. Jadi, anak yang faham, kalau ibu dia bergantung banyak pada dia, dia kena main peranan itu.
"Contohnya, walau sibuk macam mana pun, dia boleh buat rutin panggilan setiap minggu, kalau ibu itu tidak pandai buat panggilan video.
"Cara panggilan atau bersembang dengan emak dia juga mestilah bukan cliche, bukan setakat telefon sahaja.
"Dia main peranan isi masa emak untuk bermesra. Kena bersembang, tanya emak buat apa, apa cerita emak di sana. Sembang setiap minggu, sekurang-kurangnya 10 ke 15 minit," tambah Dr Meriam.
Malah, bagi pihak ibu pula, mereka boleh mengambil banyak pendekatan untuk menghilangkan rasa sunyi.
Antaranya, terapi sosial dan kebajikan termasuk meluahkan perasaan kepada rakan, atau menyertai mana-mana persatuan atau pertubuhan.
Malah, mereka juga boleh melakukan terapi kendiri dengan hobi yang boleh mengisi masa lapang dengan berkebun dan sebagainya.
Namun, apa pun, kesihatan mental kalangan warga emas itu penting dan sebagai anak-anak, walau sesibuk mana sekali pun, sentiasa ingat kepada mereka.
Tanpa ibu siapalah kita.
Selamat Hari Ibu.
#kesihatan mental
#ibu
#warga emas
#kesunyian
#Hari Raya Aidilfitri
#PKP
#rentas negeri
#larangan
#Aidilfitri
#COVID-19
#hari raya
#kesihatan
#video
#Meriam Omar Din
#Selamat Hari Ibu
#psikologi
#peranan ibu