Anak perempuan KPD Lahad Datu ditemukan meninggal dunia

Astro Awani
April 16, 2024 22:47 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Anak perempuan Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berusia 14 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik di rumahnya di Taman Tabanak, Lahad Datu pada Selasa.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Menurutnya, kakak mangsa yang berusia 16 tahun merupakan satu-satunya individu yang menemukan adiknya itu terbaring di dalam bilik selepas pulang dari sekolah.
"Manakala bapa mangsa pula ketika kejadian berada di Kinabatangan atas urusan pemindahan rumah kerana baru berpindah setelah dinaikkan pangkat," katanya di sini pada Selasa.
Dzulbaharin Ismail dilantik menjadi KPD Lahad Datu itu pada 1 April lepas.
Razarudin berkata proses bedah siasat akan dijalankan pada 9 pagi esok dan pihaknya sedang mengumpul semua saksi untuk dirakam keterangan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan.
#anak perempuan KPD Lahad Datu #Ketua Polis Daerah Lahad Datu #ditemui meninggal dunia #Taman Tabanak
;