Anak penyu agar betina dijumpai di Pantai Pulau Kekabu

Bernama
Februari 12, 2022 18:31 MYT
Seekor anak penyu agar betina dianggarkan berusia dua tahun ditemukan dalam keadaan lemah dan terdampar di Pantai Pulau Kekabu di sini hari ini. - Foto BERNAMA
MARANG: Seekor anak penyu agar betina dijumpai di Pantai Pulau Kekabu di sini hari ini, dalam keadaan lemah.
Haiwan itu ditemukan oleh seorang pekerja ladang Mohd Fadli Mamat, 43, yang kebetulan sedang menjala ikan di lokasi tersebut kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.
"Masa saya jumpa penyu itu, ia berada berhampiran kaki saya. Jadi saya sangka sampah tetapi apabila diamati, ia adalah penyu yang masih hidup. Saya pun gosok bahagian cengkerang haiwan berkenaan untuk membuang lumut dan melepaskan semula ke pantai namun apabila air surut ia naik semula ke darat.
Jadi saya serahkan haiwan berkenaan kepada anggota penyelamat pantai APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) yang sedang berada di pos kawalan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Pulau Kekabu, di sini hari ini.
Mohd Fadli berkata ia merupakan penyu pertama dijumpainya dalam keadaan masih hidup dan sebelum ini beliau juga pernah menemui dua bangkai penyu ketika menjala ikan di pantai yang sama.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat ketika dihubungi Bernama berkata penyu dianggarkan seberat 1.5 kilogram dengan panjang 33 sentimeter (sm) serta lebar 26.7sm itu dianggarkan berumur dua tahun.
"Anak penyu itu telah dibawa ke Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu (TCIC) di Rantau Abang, Dungun untuk diberikan rawatan lanjut," katanya.
Ruzaidi berkata ia merupakan penyu yang ke-18 ditemui terdampar di pantai Terengganu pada tahun ini.
Dalam pada itu katanya orang ramai diseru supaya segera menghubungi talian penting "Fishcom" di talian 03-88885019 atau 03-88704058 yang beroperasi 24 jam sekiranya menemukan penyu hidup atau mati terdampar di pantai.
-- BERNAMA
#anak penyu #Pantai Pulau Kekabu #penyu agar #Mohd Fadli Mamat #Angkatan Pertahanan Awam Malaysia #APM
;