Anak penggal kepala ibu hingga maut

Sinar Harian
Januari 16, 2022 12:49 MYT
Keadaan rumah mangsa di Kampung Baru Pasir Penambang di sini pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
KUALA SELANGOR: Seorang wanita berusia 56 tahun maut dipercayai dipenggal kepala oleh anaknya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang di sini pada Sabtu.
Suspek yang berusia 28 tahun itu dikatakan membunuh mangsa ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitarnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian disedari oleh salah seorang daripada anak mangsa yang pergi ke kediaman berkenaan selepas beberapa kali gagal menghubungi mangsa.
"Sebaik tiba di rumah itu, anak mangsa nampak ruang tamu rumah berlumuran darah dan suspek yang terkejut terus melarikan diri di ke arah belukar di belakang rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, polis menerima maklumat kejadian pada jam 5.45 petang sebelum menahan suspek di kawasan belukar tersebut dengan bantuan penduduk kampung.
Tambahnya, polis turut menemui parang yang disyaki digunakan untuk memenggal kepala mangsa dalam tandas rumah tersebut.
Beliau memberitahu, suspek yang juga penganggur menetap bersama ibu dan bapanya manakala anak-anak mangsa lain menyewa di kawasan berhampiran.
"Laporan awal ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine," katanya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan membunuh dan mahkamah Majistret Kuala Selangor membenarkan reman selama tujuh hari sehingga Sabtu depan," katanya.
Artikel asal di Sinar Harian
#anak penggal kepala ibu #kes bunuh #Kuala Selangor #parang
;