Anak penggal kepala ayah, buang mayat dalam lubang pembetung

Shafiq Noordin
Oktober 9, 2018 17:02 MYT
Mayat Yo Su Kim dijumpai di beberapa lokasi di mana kepala, tangan dan kaki ditanam secara berasingan. -Astro AWANI
Mayat seorang warga emas dijumpai dalam keadaan mengerikan apabila bahagian badannya ditemukan tertanam secara berasingan di belakang rumah yang terletak di Kampung Kanthan Baru, Chemor, sebentar tadi.
Mayat Yo Su Kim, 73, dijumpai di beberapa lokasi berbeza dalam jarak 12 meter di mana kepala, tangan dan kaki ditanam secara berasingan, manakala badannya dicampak ke dalam lubang pembetungan di belakang rumah berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata susulan penemuan itu, anak mangsa berusia 53 tahun ditahan dan merupakan suspek utama.
“Suspek sebelum itu terserempak dengan anggota polis dalam keadaan mencurigakan tidak berapa jauh dari rumah. Dia cuba berpatah balik, jadi kami tahan dia. Selepas soal siasat, dia bawa anggota ke rumah.
“Ketika di dalam rumah, anggota menemui kesan darah dan sebagainya. Suspek kemudian tunjuk pula bahagian belakang rumah yang mana kita jumpa pula satu kepala manusia yang telah dipenggal.
“Difahamkan suspek telah beberapa kali dimarahi bapanya kerana menghisap ice (syabu) di dalam rumah selepas tiga bulan tiada kerja. Suspek seorang kontraktor sebelum ini dan kami syak suspek mengambil tindakan drastik membunuh bapanya dalam keadaan khayal,” kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian.
Tambahnya, suspek juga telah menunjukkan senjata yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah tersebut.
“Kami masih belum dapat mengesahkan mayat mangsa telah dikerat berapa bahagian. Usaha mencari kesemua anggota badan mangsa masih diteruskan dengan bantuan Bomba,” ujarnya.
Difahamkan mangsa yang mengalami sakit tua dan lumpuh itu tinggal bersama suspek sejak beberapa tahun lalu.
Siasatan lanjut masih dijalankan di tempat kejadian.
#Kampung Kanthan Baru #lubang pembetungan #polis #warga emas #Yahya Abd Rahman #Yo Su Kim
;