Anak pengasuh didakwa dera kanak-kanak tiga tahun
Asyraf Roslan
Januari 11, 2019 16:23 MYT
Januari 11, 2019 16:23 MYT
Hati ibu mana yang tidak remuk apabila mendapati anak yang dikandung selama sembilan bulan didera di rumah pengasuh, tempat yang dia bergantung harap untuk menjaga cahaya matanya ketika dia keluar mencari rezeki.
Kalau selama ini, dia hanya mendengar cerita atau membaca laporan mengenai anak orang lain menjadi mangsa di rumah pengasuh, kali ini, wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Nadia melalui episod yang sama.
Sukar untuk menterjemahkannya dalam kata-kata, hanya air mata saja yang mampu menceritakan betapa luluh hati Nadia, 27, bila melihat permata hatinya, Dayyan Nufail Khairifazil menahan kesakitan akibat didera.
Anaknya yang berusia tiga tahun itu, jelas Nadia, bukan saja telah ditumbuk dan dipukul, bahkan cuba ditekap mukanya dengan bantal selain memasukkan kepala Dayyan ke dalam baldi yang dipenuhi air.
Berkongsi kesedihan itu, Nadia berkata, kisah anaknya didera itu diceritakan oleh anak sulungnya, Muhammad Darwisy Naufal yang turut dihantar ke rumah pengasuh yang sama.
Kata Nadia, Muhammad Darwisy pernah beberapa kali cuba memberitahu dia dan suami mengenai keadaan adiknya itu yang sering dipukul, namun mereka tidak endah dengan aduan itu.
Muhammad Darwisy juga, ujar Nadia, sering menyebut adiknya menjadi mangsa Adam yang pada awalnya disangka mereka teman sebaya yang turut dijaga di rumah pengasuh itu.
Justeru, Nadia dan suaminya beranggapan kecederaan tersebut berlaku akibat daripada anak-anaknya bermain dengan kanak-kanak lain yang juga di rumah tersebut.
Bagaimanapun, kata Nadia, segalanya terbongkar apabila suaminya mengambil Dayyan dan Muhammad Darwisy di rumah pengasuh dan mendapati kesan lebam yang teruk pada muka dan badan mangsa.
"Apabila bertanya kepada anak sulung apa yang terjadi barulah dia memberitahu bahawa yang memukul adiknya ialah Encik Adam iaitu anak kepada pengasuh," cerita Nadia kepada Astro AWANI ketika ditemui di pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Jumaat.
Astro AWANI difahamkan Adam yang dimaksudkan itu berusia dalam lingkungan 20-an.
Sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu, Nadia terlebih dahulu mengesahkan siapakah Adam yang dimaksudkan oleh anaknya itu.
Susulan laporan polis dibuat, Nadia dan suaminya merujuk kepada pihak hospital dan mendapat pengesahan daripada doktor yang merawat bahawa anak mereka telah didera.
Sehubungan itu, pasangan berkenaan menyerahkan sepenuhnya kes berkenaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Dayyan dan Muhammad Darwisy telah dihantar ke rumah pengasuh tersebut sejak enam bulan lalu oleh pasangan yang bekerja di ibu kota.
Sebagai pengajaran, Nadia berkongsi pengalamannya agar setiap ibu bapa mendengar apa sahaja yang ingin disampaikan oleh anak-anak bagi mengelakkan perkara lebih serius terjadi kepada mereka.