Anak pemilik kebun buah didenda RM3,000 ugut Menteri Pelancongan
Sinar Harian
Februari 27, 2025 16:20 MYT
Februari 27, 2025 16:20 MYT
Chai Seng (dua, kiri) didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis kerana mengugut mahu mengancam nyawa King Sing di Pejabat Ahli Parlimen, Jalan Parlimen di Sentul.
KUALA LUMPUR: Tindakan anak tauke kebun buah mengugut mahu mengancam nyawa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di pejabat Ahli Parlimen minggu lalu, mengundang padah apabila dia didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Lim Chai Seng, 36, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Chai Seng didakwa melakukan perbuatan itu menerusi panggilan telefon, di Pejabat Ahli Parlimen, Jalan Parlimen di Sentul pada jam 1.37 petang, 18 Februari lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira tertuduh telah melakukan ancaman ugutan terhadap mangsa.
Bagaimanapun, peguam, Caren Kaur yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda yang minimum kerana dia hanya bekerja di kebun buah milik bapanya. - Sinar Harian