Anak pegawai kanan polis didakwa beri pernyataan palsu
Bernama
Oktober 28, 2015 15:33 MYT
Oktober 28, 2015 15:33 MYT
Seorang anak pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan memberi pernyataan palsu berhubung penjualan 50 kereta mewah, tahun lepas.
Mohamad Azhan Hamza, 31, ahli perniagaan, didakwa memberi pernyataan palsu berhubung penjualan kereta itu melalui pengedar kereta TTDI Cars, Melinium Auto dan Sentimas Sdn Bhd kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Farid Jabar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 1.45 tengah hari dan 6.30 petang, 16 Julai 2014.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Liyana Shahrir menawarkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin namun peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh.
Hakim Norsharidah Awang membenarkan Mohamad Azhan diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Nov ini untuk sebutan semula kes.