Anak pasangan Malaysia di Sweden rayu ditempatkan dengan keluarga Islam
Bernama
Januari 18, 2014 16:21 MYT
Januari 18, 2014 16:21 MYT
Anak kepada pasangan rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden untuk siasatan kerana memukul tangan seorang daripada anak yang tidak bersolat merayu supaya diletakkan dalam penjagaan keluarga Melayu Islam dari Malaysia.
Aisyah, 14, anak sulung pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal, menyuarakan keinginan itu ketika mengadakan perjumpaan dengan wakil Kedutaan Malaysia dan Khidmat Sosial Sweden pada Jumaat.
"Kami tidak mempunyai masalah dengan keluarga angkat sekarang, mereka jaga kami tapi kami tidak selesa bila perlu tinggal dengan keluarga berlainan agama.
"Susah untuk kami membiasakan diri. Jadi Aisyah rasa lagi senang dan selesa untuk kami bersama keluarga Melayu beragama Islam," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, Sabtu.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu, yang ditahan pada 18 Dis lepas, telah memohon kepada Khidmat Sosial Sweden untuk menyerahkan hak penjagaan sementara anak-anak mereka kepada keluarga angkat beragama Islam daripada kalangan kakitangan kedutaan Malaysia di negara berkenaan.
Aisyah berkata hasrat untuk ditempatkan bersama-sama keluarga angkat Melayu Islam dari Malaysia itu juga turut dibantu keluarga angkatnya kini.
"Khidmat Sosial sudah janji dengan kami untuk carikan keluarga Islam dari Malaysia... mungkin kami akan dapat keluarga angkat baharu dalam masa terdekat," katanya.
Aisyah berkata perjumpaan kira-kira satu jam setengah itu dengan wakil Khidmat Sosial Sweden dan Kedutaan Malaysia itu adalah bagi membincangkan hal berkaitan ibu bapa mereka.
Dalam masa yang sama, anak pasangan itu terus meluahkan perasaan sedih dengan ketiadaan ibu bapa mereka di sisi sejak sebulan lalu.
"Kehidupan jadi susah bila mummy dan daddy tiada di samping kami... kami kena berdikari, pergi sekolah sendiri.
"Setiap pagi kena naik kenderaan awam macam bas atau kereta api, dengan keadaan cuaca yang sejuk.. Kami tidak ada bekalan baju sejuk yang mencukupi," katanya.
Aisyah berkata setiap hari selepas sekolah mereka akan pulang ke rumah keluarga angkat dalam keadaan sejuk dan gelap dan keadaan itu membuatkan mereka sedih kerana sebelum ini mereka sentiasa dijemput ibu bapa mereka.
Dalam Facebook miliknya, Aisyah menulis: 'Ya Allah..please save our family..our parents..we need them in our life..we miss them so much..we want to meet them...' (Ya Allah..tolong semalamtkan keluarga kami..ibu bapa kami..kami perlukan mereka dalam hidup kami..kami amat rindukan mereka..kami mahu berjumpa mereka...')
Tahanan reman Azizul Raheem yang merupakan kakitangan Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya yang merupakan guru yang bercuti tanpa gaji, dilanjutkan kira-kira dua minggu lagi.
##SwedenLetThemGo
#anak/children
#Azizul Raheem Awalludin
#Malaysia
#Shalwati Nurshal
#Sweden
#Wisma Putra