Anak panda dikuarantin, dalam keadaan sihat
Tan Su Lin
Ogos 19, 2015 22:52 MYT
Ogos 19, 2015 22:52 MYT
Berukuran hanya 20 cm panjang, sebesar tapak tangan manusia, anak panda yang dilahirkan 1.45 petang Selasa kini berada dalam keadaan sihat.
Menurut Pengarah Zoologi dan Veterinar, Pusat Konservasi Panda, Dr Mat Naim Ramli bayi panda betina seberat 175 gram itu berada dalam dakapan ibunya, Liang Liang dan akan dikuarantin selama dua bulan.
"Bayi panda bersama ibunya dan bagi kami itu lah keadaan terbaik kerana ibu panda sangat bersifat melindungi jadi bayi panda itu sentiasa dalam dakapan ibunya.
"Setiap pergerakan Liang Liang, anaknya akan berbunyi dan dipantau. Saya rasa itu tingkah laku yang cukup baik," katanya ketika ditemui selepas sidang media rasmi mengenai kelahiran anak panda berkenaan di Pusat Konservasi Panda, Zoo Negara.
Menurutnya, kelahiran anak panda pertama di Malaysa itu juga mencatatkan rekod antara negara paling pantas membiak haiwan berkenaan di luar China.
"Kita merupakan negara ketiga selepas Vienna dan San Diego yang berjaya membiak haiwan berkenaan secara semula jadi. Biasanya apabila keluar dari China, perlu menunggu sekurang-kurangnya 4 hingga 5 tahun untuk mendapat anak panda.
"Mungkin sebab haiwan itu berasa tertekan atau pasangan panda jantan dan betina yang tidak sesuai sehingga ada yang terpaksa menggunakan kaedah persenyawaan secara beradas. Tetapi kita cukup bertuah kerana dapat anak panda dalam tempoh hanya setahun," katanya.
Kelahiran anak panda betina itu juga langsung tidak diduga pihak Zoo Negara berikutan panda betina, Liang Liang tidak dikesan bunting semasa pemeriksaan dilakukan bulan lepas.
"Kali terakhir kedua menjalani proses pengawanan adalah 7 Mei lepas selama 20 minit. Sejak itu kami memantau rapat tingkah laku Liang Liang yang menunjukkan tanda-tanda seperti bunting tetapi ketika itu kami menganggap kelakuannya sama seperti tahun lepas iaitu 'pseudo-pregnancy'." katanya.
Menurut Dr Naim, pihak zoo akan meneruskan usaha membiak panda berkenaan tahun hadapan ketika musim mengawan panda yang dijangka berlaku Mei depan.
"Signifikan kelahiran anak panda ini adalah ia dapat memastikan kesinambungan spesies itu. Dengan berjayanya usaha pembiakan panda ini kami berharap dapat membiak spesie terancam lain di Malaysia." ujarnya lagi.
Kedua-dua panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang tiba di Malaysia pada 21 Mei tahun lepas setelah dipinjamkan China untuk tempoh 10 tahun sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.
Mengikut Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi, Malaysia hanya boleh menyimpan bayi panda itu untuk tempoh dua tahun sebelum dipulangkan kepada China.
Orang ramai dijangka boleh melihat anak panda di Pusat Konservasi Panda Zoo Negara seawal bulan Oktober apabila haiwan itu berpisah daripada ibunya.