Anak nelayan tekad sambung pengajian, kerja sambilan cari duit poket sendiri

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 14, 2021 17:13 MYT
Mohd Zamlyan Mazni (kanan) dan bapanya Mazni Othman. - Gambar Astro AWANI
BUTTERWORTH: Meskipun keputusan Sijil Pelajaran Malaysia( SPM) yang diterima kurang memberangsangkan namun ia bukan penamat buat seorang anak nelayan dari Padang Benggali, di sini untuk melakar kejayaan di masa depan.
Mohd Zamlyan Mazni, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gemilang di sini yang meraih 4A, tekad untuk meneruskan pengajian meskipun keputusan SPM diperolehinya tidak seperti diharapkan.
Anak tunggal pasangan Mazni Othman dan Rosnah Manan itu berharap dapat meneruskan cita cita melanjutkan pelajaran ke menara gading sehingga berjaya menjadi seorang jurutera.
Anak nelayan ini nyata tidak patah semangat sebaliknya berusaha mencari peluang dan ruang untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.
“Memang ada niat nak sambung belajar dan capai cita-cita jadi engineer. Saya akan usaha cari mana-mana universiti atau kolej yang boleh terima dengan keputusan saya,” kata Mohd Zamlyan.
Mohd Zamlyan juga berharap rakan yang senasib dengan dirinya tidak mudah menyerah kalah sebaliknya, perlu percaya pada diri sendiri dan bangkit melakukan kerja yang boleh mendatangkan hasil.
“Yang penting jangan menyerah kalah, kalau boleh jangan bebankan orang tua. Sekarang dunia makin maju, banyak benda kita boleh buat dan manfaatkan teknologi yang ada,” katanya lagi.
Jika sebelum ini Mohd Zamlyan hanya bergantung kepada pendapatan bapanya yang ke laut, kini anak muda ini mula keluar mencari duit poket sebagai pekerja sambilan di restoran makanan segera demi mengurangkan beban keluarga.
Bagi Mohd Zamlyan, ia satu pengalaman baru buat dirinya sementara menanti keputusan kemasukan ke pusat pengajian tinggi.
“Sementara tunggu keputusan SPM, saya kerja sambilan di restoran makanan segera, saya simpan duit gaji untuk diguna masa sambung belajar nanti sebab saya tidak mahu susahkan mak dan ayah,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi lepasan SPM, Muhamad Idham Shah Muhamad Yusof dari Kepala Batas, bersyukur kerana mendapat 9A.
Bagaimanapun, anak sulung daripada dua beradik itu tidak mahu mendabik dada, sebaliknya, sentiasa mengingatkan diri agar terus bersyukur serta bersemangat untuk mendepani cabaran di masa depan.
#anak nelayan #sambung pengajian #duit poket #Mohd Zamlyan #Mazni Othman #Rosnah Manan #Sekolah Menengah Kebangsaan Gemilang #Butterworth #Muhamad Idham Shah Muhamad Yusof #keputusan spm #SPM 2020 #result SPM
;