Anak Najib mohon Anwar benarkan siaran langsung perbicaraan bapa

Sinar Harian
Disember 9, 2022 19:23 MYT
Nooryana berkata, siaran langsung bagi semakan kehakiman kes SRC International Sdn Bhd yang bermula pada Januari depan perlu diakses oleh orang ramai agar mereka memahami situasi dalam mahkamah. - Gambar fail
SHAH ALAM : Nooryana Najwa Najib memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membenarkan perbicaraan melibatkan bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak disiarkan secara langsung menerusi penstriman dalam talian.
Anak bekas Perdana Menteri itu berkata, siaran langsung bagi semakan kehakiman kes SRC International Sdn Bhd yang bermula pada Januari depan perlu diakses oleh orang ramai agar mereka memahami situasi dalam mahkamah.
“Dari awal lagi, ayah saya minta perbicaraan kes dia disiarkan secara langsung agar rakyat faham apa sebenarnya yang berlaku dalam mahkamah.
“Semakan kehakiman kes SRC yang akan bermula pada 19 Januari adalah sangat penting bagi ayah saya dan dia bakal dibebaskan sekiranya menang.
“Saya berpendapat bahawa kerajaan Anwar patut lebih terbuka dan bertindak telus dengan memberi kebenaran bagi perbicaraan ini disiarkan secara langsung melalui ‘online streaming’,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.
Kes Saman SRC | Najib diberi kebenaran keluar notis pihak ketiga
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Mahkamah Persekutuan menetapkan tiga hari bermula 19 Januari 2023 untuk mendengar permohonan Najib bagi menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Wan Fatimah Zahara Wan Yussoff dan Siti Hajar Mustaffa yang mendengar pengurusan kes pada 21 Oktober lalu menetapkan 19, 20 dan 26 Januari 2023 untuk mendengar permohonan semakan itu. - Sinar Harian
#Najib Razak #perbicaraan Najib #siaran langsung #Nooryana Najwa
;