Anak muda tentukan masa depan Malaysia, bukan orang tua lapuk pemikiran - PM Anwar

Hasimi Muhamad
Jun 25, 2023 16:17 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa sebarang program atau nafas baharu melibatkan golongan muda, akan diputuskan sendiri oleh kumpulan itu dan dibincangkan di peringkat kerajaan. - FB Rakan Muda
BANGI: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa sebarang program atau nafas baharu melibatkan golongan muda, akan diputuskan sendiri oleh kumpulan itu dan dibincangkan di peringkat kerajaan.
Perdana Menteri berkata, pendekatan falsafah Malaysia Madani tidak terikat dengan pemikiran lapuk dan jumud kerana untuk meletakkan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang hebat di dunia, ia bergantung kepada golongan muda.
Jelas Anwar lagi, dalam mendepani masalah anak muda, Kerajaan Perpaduan juga memilih pendekatan berbeza dan tidak sekadar memberi nasihat atau berbentuk leteran orang tua.
"Kita tak mahu ada unsur yang memecahbelahkan kita (Malaysia). Kita adalah saudara... baik Melayu, Cina, India, Dayak atau Kadazan.
"Hari ini Malaysia telah jangkau dasar enam dekad, dan siapa yang tentukan sama ada Malaysia kekal sebagai satu negara hebat di dunia?
"Yang akan tentukan bukan orang tua yang lapuk pemikiran... yang nak pecahkan rakyat, (tetapi) yang akan tentukan masa depan ini (untuk hidup) bersaudara, bekerja menyelamat bangsa dan negara, adalah anak-anak muda sendiri," katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Rakan Muda (Nafas Baru) di Dewan Canselor Tun Abd Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata Rakan Muda merupakan satu program yang memberi ruang untuk memilih dengan kerangka besar adalah persiapan bagi satu generasi yang mempunyai cita-cita murni, kemanusiaan, insan, serta hormat satu sama lain.
Selain itu, Anwar berkata Rakan Muda dengan suntikan nafas baharu adalah kerangka anak muda yang senang dengan kebaikan dan persaudaraan, kemajuan teknologi baharu serta membenci amalan rasuah.
"Ya benci dengan rasuah, benci dengan hipokrasi dan salah guna kuasa, serta benci dengan orang yang menghina kaum-kaum lain. Jadi, ini gesaan 'Pakcik Anwar' petang ini.
"Saya seperti anda, rasa lega bila kita lihat semangat anak-anak muda daripada pelbagai kaum, agama dan daerah datang dengan satu cita-cita - bagaimana kita boleh menyelamatkan generasi ini, memupuk nilai-nilai yang luhur dan menyelamatkan negara kita," ujar Perdana Menteri lagi.
Beliau menambah, Kerajaan Perpaduan yang dibarisi dengan menteri dan timbalan menteri boleh menjadi juru bicara buat anak-anak muda menerusi program keprihatinan yang dilaksanakan bersama penjawat-penjawat awam.
"Bagi pihak Kerajaan Perpaduan dengan falsafah Malaysia Madani, percayalah, Insya-Allah saya akan beri apa jua sokongan yang perlu kepada anak muda," kata Perdana Menteri.
Rakan Muda adalah program pemupukan minat, penggilapan bakat dan pernyerlahan potensi diri melibatkan belia berumur 15 hingga 25 tahun yang diperkenalkan kerajaan pada 1994.
#Anwar Ibrahim #Malaysia Madani #Rakan Muda #Kerajaan Perpaduan
;