Anak muda sanggup rentas sempadan, guna laluan tidak sah untuk berhibur di Thailand
Bernama
November 4, 2024 22:51 MYT
November 4, 2024 22:51 MYT
KOTA BHARU: Polis mengakui ramai penduduk di Kelantan termasuk anak muda dalam usia belasan tahun sanggup mengambil risiko merentas sempadan dan menggunakan laluan tidak sah bagi memasuki Thailand semata-mata untuk berhibur pada hujung minggu.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata mereka biasanya bertindak memarkir kenderaan di Rantau Panjang sebelum menyeberangi Sungai Golok untuk ke Thailand berbanding menggunakan laluan sah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
"Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh rakan sejawat saya di Thailand yang memaklumkan kunjungan rakyat Malaysia dalam kalangan anak muda begitu ramai terutama pada hari minggu iaitu Jumaat dan Sabtu untuk ke kelab malam sehingga terpaksa menunggu syif untuk masuk ke pusat hiburan itu.
"Kebanyakan mereka akan ke Thailand pada petang Khamis sebelum pulang semula ke Kelantan pada Sabtu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata isu berhubung kunjungan anak muda dari Kelantan ke kelab malam di Golok itu juga baru dibincangkan bersama Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Mohd Yusoff Mamat juga berkata bagi menyekat sepenuhnya perbuatan itu, pihaknya hanya memiliki kuasa yang terbatas.
"Jika undang-undang di negara kita, warga asing yang masuk secara haram kita akan tangkap di bawah Akta Imigresen," katanya.
-- BERNAMA