Anak muda Sabah cetus inovasi kaedah alternatif tanam sayur

Tan Su Lin
April 21, 2018 09:43 MYT
Menurut Azizul, kaedah akuaponik amat sesuai untuk penduduk bandar yang berdepan masalah tanah terhad untuk aktiviti penanaman sayur. Astro AWANI
Berlatarbelakangkan pemandangan gah Gunung Kinabalu, Kundasang yang terletak di kaki gunung itu terkenal sebagai hab pengeluaran sayur-sayuran di Sabah.
Namun, satu kejadian gempa bumi telah mencetuskan idea inovasi seorang petani muda bagi mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan hasil pengeluaran di sebalik musibah yang melanda.
Tragedi gempa Ranau pada 2015 menyaksikan bukan sahaja jalan raya dan jambatan rosak teruk akibat banjir lumpur, malah hasil tanaman petani turut musnah.
Antara yang terjejas, Azizul Julirin dan keluarganya, yang mengendalikan perusahaan sayur selada di Kampung Mesilou di Kundasang.
Situasi itu mencetuskan idea bagi anak muda ini untuk mencari alternatif penanaman sayur tanpa bergantung kepada cuaca dan muka bumi, menggunakan kaedah aquaponik.
"Teknik aquaponik ini sebenarnya sesuai untuk pelbagai jenis keadaan bentuk muka bumi dan cuaca, selain jenis tanaman yang boleh dipelbagaikan.
"Sebab, ada tumbuhan boleh untuk cuaca sejuk, tumbuhan yang boleh di kawasan panas. Kini ada banyak jenis 'variety' yang sudah hybrid, sesuai untuk semua keadaan.
"Kerana, pada masa depan, pertanian seperti mana yang saya lakukan ini, bukan lagi tanam di atas tanah," katanya.
Aquaponik adalah kaedah pertanian alternatif yang menggabungkan konsep akuakultur dan hidroponik.
Kelebihannya, ia dapat mengurangkan penggunaan tanah selain menjimatkan air kerana memanfaatkan air dari kolam ikan untuk menyiram sayur-sayuran.
Air sisa buangan ikan yang mengandungi ammonia bertindak sebagai baja.
Justeru, penanaman sayur menggunakan kaedah itu juga bebas baja dan racun kimia.
Menurut graduan berkelulusan Sains Akuakultur dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, kaedah aquaponik juga amat sesuai diamalkan penduduk bandar yang berdepan masalah tanah yang terhad untuk aktiviti penanaman sayur.
"Kita tanam atas air, jadi tanah itu kita boleh guna untuk sumber-sumber lain. Contoh, di bandar kita boleh buat dalam bangunan, gunakan air. Untuk cahaya matahari, boleh guna cahaya tiruan. Bahkan, boleh dibuat di atas bumbung.
"Kawasan pangsapuri, perumahan, bangunan yang biasanya kita letak atas bumbung ini, kawasan kosong. Jadi, kita boleh manfaatkan ruang-ruang itu untuk penghasilan makanan, gunakan teknik aquaponik seperti yang saya gunakan sekarang," katanya.
Azizul menambah, dia berpendapat, pengkaji dan pengusaha sayuran perlu menjalankan penerokaan teknologi tersebut ke peringkat yang seterusnya.
"Ini kerana, potensinya ada. Inilah pertanian masa depan yang sedang kita ikuti sekarang," katanya.
Dengan rumah hijaunya, AquaFarm Kundasang, yang hanya berukuran 40x60 kaki, Azizul berjaya menjana pendapatan bulanan mencecah RM3,000 menerusi kaedah aquaponik.
Malah, dia kini berjaya meningkatkan pengeluaran sayur selada sehingga dieksport ke Brunei.
Menjadi harapan anak muda ini, agar golongan sepertinya dibantu menerusi suntikan inovasi agar dapat menyelesaikan isu dihadapi dalam kaedah pertanian konvensional.
#gempa bumi #Kundasang #Sabah #sayur
;