Anak muda perlu pandang serius isu perhambaan moden

Astro Awani
Disember 29, 2021 23:02 MYT
Anak muda boleh menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dan pihak berwajib tentang aktiviti pemerdagangan manusia. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ramai kalangan anak muda menganggap isu perhambaan moden atau pemerdagangan manusia sebagai satu isu picisan dan remeh yang tidak penting pada mereka.
Presiden Alumni Parlimen Belia Malaysia, Mohamad Nazrin Faiz Che Abd Aziz menegaskan anak muda perlu menjadikan isu pemerdagangan manusia sebagai isu bersama dan perlu dibanteras seperti kes jenayah yang lain.
Mohamad Nazrin berpendapat, anak muda boleh menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dan pihak berwajib tentang aktiviti pemerdagangan manusia.
"Kita (anak muda) mungkin tidak mampu untuk menjadikan orang yang menangkap penjenayah tetapi kita boleh sampaikan apa saja jenayah menerusi platform yang betul seperti PDRM.
"Kalau kita anak muda tidak tahu apa yang berlaku dalam kawasan sekitar kita, apa yang berlaku pada jiran kita, mungkin ada kalangan ahli taman kita sudah terlibat dengan pemerdagangan manusia.
"Belia kena terapkan pengetahuan jenayah, kena ingatkan benda ini bukan main-main. Kita tidak boleh jadikan bila perkara ini terjadi kepada orang lain, ia tidak ada kena mengena dengan kita.
"Jadikan isu pemerdagangan manusia sebagai agenda anak muda, jadikan ia sebagai agenda kita bersama," katanya.
Bagi Naib Pengerusi 1 Majlis Belia Selangor Daerah Gombak, Mohd Najib Abu Samah, anak muda melihat isu pemerdagangan manusia sebagai isu jenayah melibatkan pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen lengkap.
Namun Mohd Najib menjelaskan, isu pemerdagangan manusia adalah isu jenayah lebih besar dari perkara yang difahami oleh anak muda.
"Bila kita tengok maksud pemerdagangan manusia itu, ia lebih luas daripada hanya sekadar isu pendatang asing tanpa dokumen.
"Jika seseorang itu diperdayakan melalui media sosial untuk tujuan dijadikan buruh di luar negara, contohnya baru-baru ini ramai belia di negara kita yang ke luar negara untuk memetik buah dengan janji pendapatan yang baik.
"Tetapi bila sampai di destinasi, mereka dikerah dengan teruk hingga gaji disekat, bekerja tanpa dapat gaji hingga ada yang balik sehelai sepinggang.
"Tanpa mereka sedari itu juga sebahagian dari jenayah pemerdagangan orang yang melibatkan rakyat kita sendiri. Sebagai seorang rakyat Malaysia, sebagai warganegara sebenarnya kita pun terdedah kepada aktiviti jenayah ini," ujar Mohd Najib.
Mohamad Nazrin dan Mohd Najib merupakan tetamu bagi program Agenda AWANI yang membincangkan isu Anak Muda Lawan Perhambaan Moden.
#perhambaan moden #pemerdagangan manusia #jenayah #anak muda #Mohamad Nazrin Faiz Che Abd Aziz #Mohd Najib Abu Samah
;