Anak muda masih menunggu lebih banyak kemudahan - Pemimpin Belia UM

Faida Rahim
Mac 2, 2023 20:20 MYT
Besar harapan anak muda terhadap Kerajaan Perpaduan untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dengan menarik minat pelabur asing membuka pejabat di negara ini seperti dilakukan Tesla dan Amazon.- Twitter - Lim San Shien @limsanshien
KUALA LUMPUR: Belia di negara ini masih menunggu lebih banyak dasar yang bakal memberi kemudahan sekali gus memperkasa generasi muda.
Presiden Persatuan Pemimpin Belia Universiti Malaya Dan Ikon Siswa Kepimpinan Lim San Shien berpendapat inisiatif termasuk menu Rahmah di kampus dan bantuan e-tunai disifatkan sebagai bantuan mudah yang boleh dilaksanakan dalam jangka masa pendek.
“Sebagai seorang belia apa yang dapat kita tengok adalah Kerajaan memang sudah ada usaha, idea itu memang dah ada. Tetapi kita tengok macam mana pelaksanaannya sebab ada peringkat awal, sederhana dan jangka panjang.
“Yang saya dapat tengok sekarang beberapa inisiatif dapat dirasai oleh anak muda seperti Menu Rahmah termasuk di kampus atau e-tunai belia Rahmah dan sebagainya. Tetapi saya rasa itu adalah inisiaif yang boleh dilaksanakan agak mudah dalam jangka masa pendek.
“Tapi apa yang diperlukan adalah reformasi institusi dan bagaimana Kerajaan nak cari lebih banyak pelaburan berkualiti untuk negara,” katanya ketika mengulasi mengenai persepsi harapan dan anak muda dalam program 100 hari Kerajaan Perpaduan, hari ini.
“Apa yang kita mahu supaya anak muda dapat peluang pekerjaan serta kemudahan di Malaysia dapat ditingkatkan, kualiti hidup dan impak pelaksanaan polisi dengan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) lebih teguh," katanya.
Tambahnya, besar harapan anak muda terhadap Kerajaan Perpaduan untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dengan menarik minat pelabur asing membuka pejabat di negara ini seperti yang dilakukan Tesla dan Amazon.
Sementara itu, belia di negara ini mahu harapan dan aspirasi mereka diberi keutamaan dan didengar bagi memastikan masa depan golongan itu terjamin terutama dari segi ekonomi untuk kelangsungan hidup.
#Menu Rahmah #pelaburan #perpaduan #Lim San Shien
;