Anak muda jangan takut ceburi bidang keusahawanan

Madiha Abdullah
April 2, 2019 19:06 MYT
Hatta ditemui pada sidang media selepas sesi forum Fly High di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, pada Selasa. - Foto Twitter Kementerian Pembangunan Usahawan
Keluarga, khususnya ibu bapa berperanan besar dalam memberi galakan kepada golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan.
Belia, khususnya belia Melayu, perlu diyakinkan untuk memulakan perniagaan terutama sekali dalam dunia zaman kini yang menyaksikan persaingan merebut tempat dalam sektor kerajaan dan swasta sangat sengit.
"Ini bukan lagi tahun 80an di mana peluang kerja sedia menunggu apabila graduan tamat belajar. Ini masa graduan cipta peluang pekerjaan sendiri.
"Keluarga perlu beri galakan kerana peringkat awalnya tentu mencabar. Belia perlu diberi peluang untuk meneroka potensi mereka kerana setiap daripada kita secara semulajadi ada bakat berniaga.
"Di pihak kerajaan, kami sentiasa memberikan sokongan dalam bentuk latihan dan modal. Anak muda cuma perlu berani dan kuat berusaha," kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd Hatta Ramli.
Beliau ditemui pada sidang media selepas sesi forum Fly High di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Sekretariat program Protege (dahulunya SL1M), Norashikin Ismail, berharap belia tidak memberikan alasan untuk tidak menceburi bidang keusahawanan.
"Seorang graduan di Pulau Pinang yang tamat belajar dari luar negara dan mempunyai skil komunikasi yang bagus, tetapi gagal mendapat pekerjaan. Dia akhirnya memilih untuk membuka bengkel motosikal.
"Biarpun ketika itu dia tidak ada skil membaiki motosikal, dia memberanikan diri memulakan perniagaan dengan modal RM5,000. Selepas dua tahun, pendapatan bulanannya sekarang RM15,000.
"Jadi tak ada alasan sebenarnya. Kalau mereka ada kemahuan dan bersedia berusaha keras, banyak program yang disediakan untuk membantu," kata Norashikin.
#Belia #Fly High #keluarga #keusahawanan #Melayu #Mohd Hatta Ramli #Norashikin Ismail #PROTEGE #SL1M #usahawan
;