Anak muda jangan jadi 'pencacai', 'walaun' pertahankan penyelewengan - PM Anwar

Abd Hadi Che Awang
Mei 24, 2023 19:11 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Santai Petang dan Dialog bersama anak muda Langkawi di Kolej Vokasional Langkawi hari ini. - Foto Bernama
LANGKAWI: Golongan muda diingatkan untuk mempunyai ciri idealisme yang mana memiliki sikap keyakinan dan berminat untuk membawa perubahan bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan kepada masyarakat secara umum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, golongan berkenaan juga tidak boleh memiliki perangai yang lebih teruk daripada golongan 'orang tua' dimana mereka menjadi 'tali barut' dengan mempertahankan penyelewengan dan penindasan.
Ahli Parlimen Tambun itu juga berharap agar golongan muda dapat melihat dan mengkaji sesuatu informasi atau maklumat sebelum membuat sebarang keputusan selain tidak hanya menjadi 'pak turut' kepada mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas mereka.
"Ada (golongan) anak muda tetapi perangai (mereka) lebih teruk daripada orang tua, ada anak muda tetapi (mereka) menjadi tali barut atau pencacai (dengan mempertahankan penyelewengan dan penindasan).
"Apa erti (kita punyai) anak muda sebegitu, menjadi anak muda ikut sahaja (apa yang diperkatakan dan menjadi) sebagai macai (yang) tidak berfikir, ataupun sebagai 'walaun'.
"Anak muda (yang) kita (mahukan adalah punyai) nilai dari segi keyakinan dan minat hendak bawa perubahan, minat dalam menimba ilmu, minat dan cita-cita membawa kebaikan, itu yang disebut (ciri) idealisme," katanya.
Anwar berkata demikian ketika Sesi Santai Petang dan Dialog bersama Perdana Menteri di Dewan Gunung Mat Chinchang, Kolej Vokasional Langkawi, pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar golongan muda tidak tertipu dengan propaganda politik yang dimainkan pihak tertentu selain perlu dilatih untuk membuat penilaian dengan baik terhadap sesuatu perkara.
"Begitu juga hak dalam memilih (atau) mengundi, (ada yang dakwa) kalau sokong Anwar, dia akan sokong LGBT, kalau sokong Anwar, (orang) Cina akan berkuasa, (semua) ini tidak betul.
"Ini jadi masalahnya (sebenarnya), maknanya kita (semua terutama orang muda) tertipu dengan propaganda politik, (contohnya) pada masa kempen (PRU-15), mereka kata kalau sokong Anwar, Islam akan dibenamkan, (semua itu tidak benar)," katanya lagi.
#anak muda #Anwar Ibrahim #Langkawi #pak turut
;