Anak muda harap kerajaan tidak tabur janji kosong - Ahli Parlimen Belia
Faida Rahim
Ogos 12, 2023 18:46 MYT
Ogos 12, 2023 18:46 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu peka dengan isu kos sara hidup selepas pandemik COVID-19 melanda dunia yang menyaksikan peningkatan ketara masalah harga barangan selain purata gaji.
Ahli Parlimen Belia Malaysia, Esther Ezhil Nanggai berkata, ini, kerajaan perlu mengambil inisiatif serius bagi membantu anak muda dengan merealisasikan manifesto yang dibentangkan dan bukan menabur janji kosong semata.
"Bagi saya sebagai belia berada di institusi pengajian tinggi, yang pertama berkaitan Menu Rahmah. Bagi saya perkara ini sangat membantu. Apabila pergi ke restoran makanan segera, saya memang pilih menu berkenaan. Ia membantu saya untuk mengurangkan kos hidup.
"Kita juga tidak boleh lupakan anak muda sulung dalam keluarga. Mereka bukan sekadar menampung diri sendiri, tetapi juga bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan keluarga," katanya.
Tambah Esther, anak muda masih berdepan dengan senario kesukaran mencari pekerjaan dan sekiranya mendapat tawaran, mereka masih berdepan masalah kos sara hidup yang tinggi.
Dalam pada itu, Esther berharap Ahli Parlimen lebih tiga penggal memberi ruang kepada pemimpin muda untuk mengasah bakat kepimpinan mereka dan mencari pengalaman sebanyak mungkin dari kerusi yang ditinggalkan.
"Kalau kita tengok, ramai pemimpin sudah lebih tiga dan empat penggal memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen. Mereka masih tidak memberi ruang kepada pemimpin muda di negeri masing-masing," katanya.