Anak muda bukan sekadar istilah, perlu diberi kepercayaan memimpin - Pemimpin Belia
Irfan Faruqi
September 8, 2023 07:00 MYT
September 8, 2023 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Anak muda perlu diberi kepercayaan untuk memimpin bagi merealisasikan agenda pembangunan mampan.
Pengasas Organisasi Belia ASEAN, Senjaya Mulia berkata tidak wajar bagi pihak kerajaan dan swasta sekadar memperalatkan istilah anak muda sebagai objek semata-mata tanpa memberi ruang penglibatan yang bermakna.
“Belia perlu dilibatkan dalam sebarang pelaksanaan program berkaitan pembangunan mampan. Kita pernah berdepan dengan situasi di mana pemegang taruh dari pihak kerajaan mahupun swasta yang sekadar menggunakan istilah ‘anak muda’ sebagai objek.
Mereka tidak meletakkan kepercayaan yang secukupnya kepada belia dan tidak melibatkan penyertaan mereka secara menyeluruh. Saya fikir, satu perkara yang perlu ditekankan adalah keperluan untuk meletakkan kepercayaan kepada anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Anak Muda terbitan Astro AWANI pada Jumaat.
Jelasnya, golongan anak muda mempunyai banyak idea, bertenaga dan inspirasi inovasi. Ciri-ciri ini perlu digembleng untuk menjayakan pelbagai program dan inisiatif berkaitan pembangunan mampan.
Tambah Senjaya lagi, tanpa kepercayaan ini generasi muda ini tidak akan mampu untuk mencapai cita-cita membawa perubahan yang signifikan dalam berdepan pelbagai cabaran semasa.