Anak minta telekung baharu sebelum ditemui lemas

Bernama
Oktober 23, 2019 18:41 MYT
Mayat Nor Aliya Natasha Mohd Ali, 11 dan adiknya Nor Aliya Batrisha, 8, ditemui dalam parit yang terletak kira-kira 15 meter dari rumah mereka. - Foto JBPM
Seorang ibu tidak menyangka permintaan kain telekung baharu oleh anak sulungnya adalah yang terakhir kali sebelum 'permata hatinya' itu ditemui mati lemas, awal hari ini.
Lebih memilukan, Nor Aliya Natasha Abdullah, 11, ditemui mati lemas bersama adik tirinya, Nor Aliya Batrisha Mohamad Ali, 8, dalam parit sedalam tiga meter di Kampung Parit Simpang 4, Alor Pongsu dekat sini pagi tadi
Ibu kedua-dua mangsa, Siti Solehah Azmi, 27, berkata anak sulungnya meminta kain telekung pada Isnin lepas dan dia tidak sempat menunaikan permintaan tersebut.
"Saya sedih tidak dapat menunaikan permintaannya dan redha dengan ketentuan Allah ini," katanya ketika ditemui wartawan di Unit Forensik Hospital Parit Buntar di sini.
BACA: Dua beradik lemas dalam parit berhampiran rumah
Mayat Nor Aliya Batrisha dan Nor Aliya Natasha yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu ditemui terapung dalam parit kira-kira pukul 11.30 pagi oleh anggota bomba dan penduduk kampung.
Kedua-dua mangsa dipercayai mati lemas dalam parit itu sejak petang semalam setelah tidak pulang ke rumah ibu bapa mereka.
Berkongsi insiden itu, bapa mangsa Mohamad Ali Mohd Rashid, 28, berkata dia hanya mengetahui kedua-dua beradik tersebut tidak ke bersekolah hari ini selepas tidak menemui mereka di rumah ibunya, Jaliah Osman, 50, yang terletak berhampiran, pagi ini.
"Selalunya kedua-dua anak saya tidur di rumah ibu saya selepas balik dari sekolah. Bila mereka tiada di rumah ibu, ibu menyangka mereka di rumah saya," kata Mohamad Ali yang bekerja kampung.
Katanya, kali terakhir dia mengambil kedua-dua anaknya dari sekolah adalah tengah hari semalam sebelum pergi bekerja dan balik pada lewat malam.
"Oleh kerana letih saya tertidur dan hanya bangun pada pagi ini lalu keluar mencari kedua-dua anak sebelum orang kampung maklumkan mereka mati lemas," katanya sambil menambah jenazah adik beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Alor Pongsu malam ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan ia dalam siasatan.
-- BERNAMA
#anak #jenazah #lemas #lemas parit #mangsa #mati #Nor Aliya Batrisha Mohamad Ali #Nor Aliya Natasha Abdullah #Perak #polis #siasatan
;