Anak maut tercampak keluar dari kenderaan, ibu dikejar ke hospital

Eleanor Michelle Patrick
September 17, 2021 11:00 MYT
Seorang wanita maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dipandu ibunya dalam kejadian kemalangan yang berlaku di Kilometer 11, Jalan Tenom-Keningau. -Foto PDRM
TENOM: Seorang wanita berusia 25 tahun maut selepas tercampak keluar dari kereta Proton Iswara yang dipandu ibunya dalam nahas yang berlaku di Kilometer 11, Jalan Tenom-Keningau, pada Khamis.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di badan dan kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ibu mangsa yang berusia 54 tahun bagaimanapun hanya mengalami kecederaan dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tenom.
Menurut Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, kemalangan membabitkan kereta mangsa dengan sebuah Perodua Myvi.
"Pemandu (Proton Iswara) pula dipercayai mengalami kecederaan dalaman dan terus dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Manakala pemandu kenderaan Perodua Myvi bersama anaknya tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa sudah dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Terdahulu, rakaman kejadian kemalangan berdurasi satu minit lapan saat itu tular di media sosial.
Rakaman berkenaan memaparkan sebuah kenderaan terbalik di tepi jalan dan seorang mangsa terbaring dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian.
#Akta Pengangkutan Jalan 1987 #anak maut tercampak keluar kenderaan #Perodua Myvi #tular di media sosial
;