Anak maut, ibu patah kaki dalam nahas bas dan lori tangki
Sinar Harian
Julai 15, 2023 13:10 MYT
Julai 15, 2023 13:10 MYT
SEGAMAT: Seorang kanak-kanak maut manakala ibunya patah kaki dalam kemalangan melibatkan sebuah bas henti-henti dan lori tangki di Jalan Sidek, Kampung Jawa, Chaah dekat sini pada Sabtu.
Nahas pada jam 7.10 pagi tersebut turut mengakibatkan tiga lagi cedera.
Difahamkan, kanak-kanak lelaki yang berusia 10 tahun itu meninggal dunia semasa mendapat rawatan di sebuah klinik berhampiran.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penolong Pegawai Bomba Mohd Hafifie Md Sarif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 7.13 pagi.
Katanya, seramai 14 anggota bomba dari BBP Labis dan BBP Yong Peng dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dikejarkan ke tempat kejadian.
"Laporan awal kemalangan melibatkan sebuah treler jenis Tata dan sebuah bas transit jenis Hino. Pihak bomba bertindak menyelamatkan mangsa dan memberikan rawatan awal.
"Mangsa yang cedera ialah pemandu lori iaitu lelaki warga emas berusia 62 tahun, penumpang bas, seorang lelaki berusia 65 tahun dan dua wanita berumur 23 dan 45 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, semua mangsa yang cedera dihantar dengan menaiki EMRS dan ambulans ke klinik kerajaan dan Hospital Daerah Segamat untuk menerima rawatan.
Tambah Mohd Hafifie, operasi menyelamat mangsa tamat pada jam 9.03 pagi. -- Sinar Harian