'Anak makan Panadol macam gula-gula...' Aidilfitri buka lembaran baharu buat Pak Tagie sekeluarga

Nickyson Nyambar
April 12, 2024 08:00 MYT
Pelukan erat seorang insan bergelar ayah selepas kisah hatinya didengari pemimpin yang membantu dia memulakan lembaran baharu mengangkat kehidupan mereka sekeluarga yang diuji sekian lama. -Foto Facebook/Steven Sim Chee Keong
KUALA LUMPUR : Retak menanti rebah.
Dugaan berat sekeluarga dipikul seorang insan bergelar bapa.
Kudrat Pak Tagie, 58, mungkin terhad akibat faktor usia selain tidak sama seperti mereka yang sempurna fizikalnya kerana insan berjiwa besar ini diuji dengan kekurangan tidak mampu melihat dengan mata kirinya akibat buta.
Tidak terhenti di situ, isterinya pula yang mesra dengan sapaan Mak Cik Zenab, 52, merupakan seorang 'survivor' atau pejuang barah limfoma tahap tiga.
Salah seorang daripada tiga cahaya mata mereka pula menghidapi tumor otak dan memerlukan pembedahan segera.
Kisah ini dikongsikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang menyelami isi hati rakyat di kawasannya.
"Makan Panadol macam gula-gula. Sudah jatuh ditimpa tangga. Anak perempuan mereka, Intan, 22, menghidapi tumor otak. Sudah buntu, Pak Tagie memohon bantuan saya.
"Sekiranya pembedahan tidak dibuat, nyawa Intan dalam bahaya. Mula-mula dahulu, Intan hanya makan Panadol selama enam bulan.
"Dia keliru, kenapa tidak sembuh sehingga satu hari dia pitam. Selepas melakukan pemeriksaan dengan doktor, mereka beri Intan Panadol lagi.
"Lapan bulan Intan makan Panadol seperti gula-gula sehingga mual dan muntah, pitam sekali lagi.
"Selepas masuk ke hospital, baru tahu, rupa-rupanya ada tumor otak sebesar bola ping-pong. Situasi ini sudah memberi tekanan kepada Intan," kata beliau.
Ujarnya, sekiranya Intan tidak mendapatkan rawatan, maka dia boleh berdepan dengan risiko buta.
Menceritakan lagi dugaan berat keluarga ini, dua lagi anak Pak Tagie, seorang masih bersekolah dan baru menginjak usia 15 tahun, manakala seorang lagi yang dikenali sebagai abang long Danish diberhentikan kerja selepas kontrak dua tahun pekerjaan terdahulunya tamat.
Hanya sesetengah insan yang mampu bertahan dengan situasi seperti ini. Namun buat Pak Tagie, semangatnya yang besar untuk berjuang memastikan mereka 'cukup makan' tetap diteruskan meskipun sukar.
Dia dan isteri berganding bahu bekerja di sebuah restoran makanan segera di Bukit Mertajam demi menyara kehidupan mereka anak beranak.
Mungkin terkapai-kapai, namun takdir Tuhan menjelma apabila dia bertemu dengan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong baru-baru ini.
Pertemuan itu ibarat membuka lembaran baharu buat mereka sekeluarga apabila Steven tampil untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi keluarga ini.
"Saya beritahu Pak Tagie jangan risau tentang kos perubatan Intan, Steven akan bayar semua. Yang penting Intan berubat sampai sembuh.
"Intan memberitahu, ingin masuk semula ke universiti. Belajar sehingga dapat menggenggam ijazah, ingin membalas jasa ibu bapa. Tetapi kena bayar yuran semester. Tidak mengapa, saya akan tanggung. Nescaya Intan akan bergelar siswazah.
"Saya juga telah meminta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mencarikan kerja buat Danish menerusi MyFutureJobs.
"Tidak sampai sehari, sudah ada tiga syarikat antarabangsa beratur dengan 'offer' RM2,000 ke atas," tambah beliau lagi.
Sementara itu, melihat kepada semangat keluarga ini untuk berdiri diatas kaki sendiri, beliau turut membantu untuk menyelesaikan tunggakan sewa rumah mereka selama empat bulan sebelum ini.
Beliau dalam masa sama menyelesaikan sewa sepanjang tahun ini juga supaya Pak Tagie dapat bernafas dalam menyara kehidupan mereka sekeluarga.
"Keadaan keluarga Pak Tagie amat daif. Sudah lama mereka tak sambut raya dengan baju baru, jadi saya bawa mereka pergi membeli-belah di AEON Bukit Mertajam.
"Saya ingin jadikan momen ini sebagai permulaan baru buat keluarga Pak Tagie supaya mereka dapat menyambut raya dengan meriah," kisah ini beliau ceritakan menerusi laman sosial Facebooknya pada Khamis.
#cerita Aidilfitri #sinar baharu #kebajikan #kisah rakyat
;