'Anak Mak' luah isi hati, keluar dari kegelapan
Ridauddin Daud
Mei 3, 2022 09:35 MYT
Mei 3, 2022 09:35 MYT
SETIAP orang pernah melakukan kesilapan.
Ada kesilapan yang boleh dibetulkan, dibaiki dan mula baharu, namun ada yang membawa ke tembok besi, berubah terus hidupnya.
Kekhilafan itu kadangkala terus membelenggu diri dan bagi bekas banduan, ia semakin terasa apabila Ramadan sampai ke penghujungnya dan Aidilfitri pula menjengah tiba.
Rindu beraya bersama keluarga, rindu peluk dan cium ibu bapa, rindu juadah raya, semuanya silih ganti ‘menikam’ hati, namun mereka reda segala ketentuan Ilahi.
Bukan mudah untuk mereka hidup dengan gelaran bekas banduan, bekas penagih dan bekas pelajar Henry Gurney, namun itulah harga perlu dibayar akibat kisah hitam mereka yang lalu.
Kini mereka nekad untuk berubah, bulatkan tekad dan semangat demi keluarga tercinta, agar tahun hadapan boleh pulang ke kampung, raikan Aidilfitri bersama keluarga.
Shamrin, 32, sudah lebih setahun tidak bertemu ibunya.
Meskipun terlalu rindu, dia memilih untuk tidak balik beraya tahun ini kerana mahu menumpukan usaha untuk berubah 100 peratus.
“Kita ingat nak berubah, datang kerja kat sini, baru tiga bulan, ingat macam tu laaa.
“Saya dapat kerja, dah lama tak kerja, duk menghisap je dulu. Sini dapatlah kerja, gaji pun belum tahu lagi, baru kerja, baru dua minggu.
“Bulan ini baru dapat gaji. Sekarang, bila ada hala tuju begini, nampaklah jalannya,” katanya kepada Astro AWANI.
Bagi bekas pelajar Henry Gurney ini, Izzat, 30, dadah membuatkannya melakukan jenayah yang tidak pernah terfikir dilakukannya…mengambil nyawa orang lain.
Namun kini apabila berjauhan, rindu kepada ibu meluap-luap di hati dan baginya, tiada lain mahu diungkapkan selain kata-kata maaf buat ibunya sempena Aidilfitri.
“Saya nak minta ampun atas dosa saya dengan dia. Kalau saya ada terkasar bahasa, kalau ada terpukul ke apa, saya mohon maaf, minta ampun banyak-banyak.
“Saya bukan sengaja, saya bawah pengaruh dadah. Harap dia faham, bukan saya sengaja,” ujarnya.
Lelaki berusia 37 tahun ini pula, Norhizam sudah lebih lima tahun tidak berjumpa bapanya, semuanya kerana dia dihalau dari rumah, dilarang balik selagi masih terpalit dengan najis dadah.
Begitupun, tahun 2022 membawa sinar baharu kepadanya kerana ayah dikasihi sudah mula bertanya khabar malah bertanya juga, bila Norhizam akan balik kampung.
Namun, sama seperti Shamrin, dia mahu tumpukan usaha untuk berubah dan walaupun rindu semakin hari semakin menebal, dia sembunyikan semuanya demi hidup yang lebih baik.
“Saya rindukan belaian kasih sayang seorang ayah, mak. Walaupun saya dah besar, berumur sebegini tapi masih rindu, nak hidup bersama mereka selama mereka masih hidup.
“Takut mereka dah tiada nanti, memang rasa kesal lah, tak sempat nak jumpa. Alhamdulillah, Allah beri peluang kepada saya untuk jumpa dengan keluarga saya,” katanya.
Mereka semua merupakan peserta i-Kembali, program yang memberi peluang kedua buat bekas banduan memulakan hidup baru bersama masyarakat.
Di sana, mereka berusaha sebaiknya untuk berubah dan walaupun tidak meraikan Aidilfitri bersama keluarga tahun ini, mereka reda dan berdoa agar iltizam mereka diberkati Yang Esa.
Hakikatnya, perjalanan hidup kita dan mereka mungkin tidak sama namun jiwa mereka tidaklah berbeza...rindu, kasih dan cintakan keluarga.
Hati disulami rindu, jiwa berasa syahdu namun tahun ini, semuanya dipendam di kalbu. Berdoa agar tahun hadapan, Aidilfitri membawa senyuman.