'Anak lelaki Mama 5 orang, di mana seorang lagi?' - Raja Zarith Sofiah
Madiha Abdullah
Disember 8, 2015 13:57 MYT
Disember 8, 2015 13:57 MYT
Tidak ada seorang ibu pun yang sanggup berdepan dengan kehilangan anak tersayang. Jika diberi pilihan, tentu si ibu mahu mendahului anaknya pergi mengadap Illahi.
Namun ketentuan Tuhan, tiada siapa yang mampu menghalang. Walau sepahit mana, hakikat itu harus ditelan, bersama doa dan harapan agar anak yang dikasihi berada di kalangan mereka yang terpilih di sisi Tuhan.
Satu status yang dimuat naik ke akaun Facebook membawa kita semua menyelami keperitan yang ditanggung Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, yang baharu sahaja kehilangan anakandanya, Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibni Sultan Ibrahim Ismail.
Dalam status itu, baginda menceritakan saat-saat akhir bersama Almarhum Tunku Jalil, memberi semangat dan kekuatan buat puteranya itu melawan kesakitan.
Menurut Raja Zarith, biarpun cuba menjadi kuat, namun baginda tetap tidak dapat menahan sebak dan airmata melihat ketabahan Tunku Jalil.
Baginda turut berkongsi rasa pilu ketika upacara pengebumian berlangsung. Ketika itu, baginda sedar anakandanya yang manja dengan panggilan Lil itu sudah tiada.
"Anak lelaki Mama lima orang. Di mana anak mama yang lagi seorang? Dan Mama baru tersedar bahawa Lil yang tiada. Lil kini berada di bawah timbunan tanah itu," ujar Raja Zarith dalam status tersebut.
Tunku Jalil, yang merupakan Tunku Laksamana Johor, mangkat Sabtu lalu akibat kanser hati.
GALERI FOTO: Tunku Abdul Jalil, damailah Almarhum di sana