Anak kerat ibu: Suspek mungkin ada masalah mental - Polis
Abd Razak Mohd Ali
Jun 5, 2022 11:00 MYT
Jun 5, 2022 11:00 MYT
IPOH: Suspek yang disyaki membunuh dan memotong mayat ibu kandungnya sendiri kepada 15 bahagian dipercayai mengalami masalah mental.
Polis juga percaya suspek memukul kepala ibunya terlebih dahulu sebelum mengerat badan mangsa dan membuangnya ke dalam tangki kumbahan di Taman Kerian, Parit Buntar.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pada mulanya polis menyiasat mengenai kes orang hilang selepas menerima laporan daripada salah seorang anak mangsa beberapa hari lalu.
"OCS telah pergi ke rumah berkenaan, tetapi oleh kerana keadaan rumah tidak terurus disebabkan mangsa dan juga suspek terlibat dalam urusan beli barang-barang terpakai.
"Rumah berselerak, bau pun memang tidak menyenangkan, jadi mereka pergi meninggalkan lokasi.
"Tapi semalam kita dapat panggilan daripada jiran yang mengatakan bau busuk luar biasa dari rumah itu menyebabkan pihak polis sekali lagi bergegas ke tempat kejadian.
"Bila kita pergi ke bahagian belakang rumah, ada papan plywood yang digunakan untuk menutup saluran lubang najis.
"Jadi kita jumpa mayat di dalam itu," kata Mior Faridalathrash selepas majlis perasmian Malaysia Sports League Daerah Kinta 2022 di X Park Sunway City, Tambun, pada Ahad.
Menurutnya, pihak forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian telah menjumpai bukti yang digunakan oleh suspek, antaranya sebilah parang, dua pisau dan barang-barang yang digunakan suspek dalam kejadian itu.
Katanya, polis menganggap kes itu selesai dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapat arahan selanjutnya.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, Mior Faridalathrash di dalam kenyataannya lewat malam Sabtu berkata, polis menahan seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki membunuh ibu kandungnya sendiri dan membuang mayat ke dalam tangki kumbahan di Taman Kerian.
Katanya, polis menerima laporan mengenai penemuan potongan daging dipercayai anggota badan manusia kira-kira jam 3.30 petang pada Sabtu.
Menurutnya, daripada siasatan awal polis mendapati kejadian itu adalah kerana ada masalah pembahagian harta menyebabkan suspek yang berusia 42 tahun tidak berpuas hati terhadap ibunya yang berusia 68 tahun.
Siasatan awal polis juga mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau.