SHAH ALAM: Seorang bapa nekad meredah banjir untuk pulang ke rumahnya di Taman Tulip 1, Seksyen 29, di sini bagi mendapatkan bekalan makanan untuk anaknya yang kelaparan selepas terperangkap lebih 12 jam, Sabtu lalu.

Berkongsi kisah itu, lelaki berusia 35 tahun yang mahu dikenali sebagai Izuan berkata, dia sekeluarga mula keluar dari rumah ke kediaman abang iparnya pada waktu Maghrib selepas air mula memasuki kediaman.

Bagaimanapun katanya, air mula naik mendadak memaksa Izuan dan isteri bersama tiga anak termasuk bayi perempuan berusia sembilan bulan serta ibu mertua sekali lagi keluar dari rumah itu dan berpindah di rumah dua tingkat milik di kawasan taman belakang.

"Rumah itu masih belum didiami dan kami semua berteduh di tingkat dua. Tiada makanan, air bersih dan elektrik. Semuanya gelap.

"Kami berteduh bersama satu keluarga lain di situ. Situasi ketika itu memang sebak apatah lagi anak kecil menangis kelaparan," katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters, di sini, pada Jumaat.

Kediaman kawasan perumahan di Taman Tulip 1, Seksyen 29 Shah Alam yang mula dibersihkan selepas banjir besar melanda pada Sabtu lalu.

Izuan yang bekerja di syarikat swasta berkata, mengenangkan nasib anak yang kelaparan, dia nekad meredah banjir pada paras 0.5 dan berpatah semula masuk ke rumahnya untuk mendapatkan sedikit makanan pada keesokan harinya.

"Saya bersyukur kerana ada sedikit bekalan biskut dan keropok untuk dijamah kami sekeluarga sementara menanti bantuan tiba.

"Tidak lama kemudian, ada kayak melalui kawasan ini sekitar jam 2 petang dan membawa kami semua keluar dari kawasan banjir.

"Kejadian ini memang tidak disangka seteruk ini dan penduduk di sini amat memerlukan bantuan sokongan," ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Syafiq Tajudin, 34, berkata, dia sekeluarga reda dengan kejadian yang menimpa ini.

Ujarnya, hujan lebat ketika itu hanya diharap boleh berhenti.

"Saya sekeluarga yang terperangkap mujur dapat diselamatkan oleh kenderaan pacuan empat roda dan dibawa ke tempat yang selamat," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian