Anak kapal yang terperangkap mungkin masih hidup - Maritim
Raffi Bachik
Mac 21, 2018 20:14 MYT
Mac 21, 2018 20:14 MYT
Anak kapal yang dipercayai terperangkap di bawah kapal korek pasir yang terbalik di perairan Parit Jawa, Muar pagi tadi mungkin masih hidup.
Ia susulan terdapat tindak balas daripada mangsa yang terperangkap di bawah kapal berkenaan ketika kerja menyelamat dilakukan.
Timbalan Pengarah Operasi Wilayah Maritim Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, walaupun kapal berkenaan terbalik sepenuhnya di tengah laut, namun terdapat sedikit ruang udara yang membolehkan kesemua mangsa terperangkap mampu bertahan dalam tempoh 24 hingga 48 jam.
Katanya, ketika beberapa anggota pasukan penyelamat cuba mendekati dan mengetuk bahagian badan kapal berkenaan; ketukan mereka dibalas dipercayai oleh mangsa yang masih terselamat yang berada di bawah kapal itu.
“Permeriksaan awal mendapati ada ketukan dan tindak balas menunjukkan ada mangsa masih hidup, tetapi tidak pasti jumlahnya.
“Selain itu kita mendapat maklumat KD Mahameru dari Lumut dijangka tiba jam 5 pagi. Ketika ini kawalan tumpahan minyak dilakukan dengan kerjasama Jabatan Laut dan Jabatan Alam Sekitar,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara menunggu bantuan kapal KD Mahameru Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) lebih 20 anggota pasukan penyelamat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) sudah memulakan operasi menyelamat di permukaan air.
Permohonan bantuan ke tas TLDM dibuat berikutan faktor kedudukan kapal di tengah laut di Selat Melaka serta saiz kapal yang besar.
Pemantauan di kawasan sekitar kapal berkenaan giat dilakukan bagi memastikan tidak berlaku sebarang pelanggaran kapal yang melalui kawasan itu.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan, sebuah kapal korek pasir yang membawa 18 anak kapal terbalik di kedudukan 8.5 batu nautika dari jeti nelayan Pantai Leka, Parit Jawa, pagi tadi.
Tiga mangsa ditemui selamat, seorang lemas manakala 14 lagi masih terperangkap.
#14 anak kapal hilang
#Kapal korek pasir
#Kapten Maritim Sanifah Yusof
#maritim
#Muar
#Timbalan Pengarah Operasi Wilayah Maritim Selatan