Anak kakitangan hospital maut, tertinggal 4 jam dalam kereta diparkir

Astro Awani
Januari 31, 2024 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta di kawasan parkir Hospital Shah Alam.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima laporan daripada Pegawai Perubatan Hospital Shah Alam, pada jam 8.01 malam, Selasa lalu.
"Hasil siasatan mendapati mangsa ditinggalkan oleh ibunya, yang juga kakitangan hospital berkenaan, secara tidak sengaja, di dalam kenderaan jenis Axia, selepas ibunya mengambilnya dari sebuah taska berdekatan tempat kejadian, pada jam 2 petang.
"Semasa ditinggalkan, mangsa dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan.
"Setelah dihubungi oleh suaminya barulah ibu mangsa menyedari kejadian tersebut pada jam 6 petang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan hospital tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dijalankan.
"Bedah siasat dijalankan pada keesokan hari (Rabu) namun keputusan masih belum dikeluarkan.
"Pemeriksaan ke atas mangsa juga didapati tiada mempunyai sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman," ujarnya.
Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000, atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya.
"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa mengambil anak-anak mereka pulang dari sekolah atau taska, terutamanya yang masih kecil, supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
"Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid di talian 013-6544996," katanya.
#anak tertinggal dalam kereta #Hospital Shah Alam #Mohd Iqbal Ibrahim #polis shah alam
;