'Anak, isteri derita selepas saya ditahan kes kematian Dharmendran' - Koperal

Bernama
September 15, 2015 22:22 MYT
Pada 12 Disember 2014, Mahkamah Tinggi di sini membebaskan empat anggota polis itu daripada tuduhan membunuh kerana mendapati tiada prima facie terhadap mereka. - Gambar hiasan
Seorang anggota polis berpangkat koperal memberitahu bahawa anak, isteri dan anggota keluarganya telah menderita sepanjang penahanannya bagi membantu siasatan kes kematian N. Dharmendran.
Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL), berkata beliau ditahan reman selama lebih setahun di Penjara Sungai Buloh di sini.
"Saya telah ditahan di penjara selama setahun enam bulan, tujuh hari, atas kesalahan tidak pasti berkaitan laporan tangkap semula (kes Dharmendran).
"Saya, Inspektor S. Hare Krishnan, Sarjan Jaffri Jaafar dan Koperal Mohd Nahar Abd Rahman (yang turut ditahan reman membabitkan kes sama) dibebaskan pada 12 Disember 2014 oleh Mahkamah Tinggi tanpa membela diri. Anak, isteri saya setahun lebih menderita," katanya di Bilik Pendengaran, Tingkat 13 Menara TH Perdana, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-41 pada pendengaran awam sesi ketiga Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung kematian Dharmendran di dalam tahanan polis pada 21 Mei 2013.
Mohd Haswadi Zamri, yang bertugas di bahagian Siasatan Jenayah D9 IPK KL sejak 2003, turut terlibat dalam menguruskan kes penahanan Dharmendran pada Mei 2013.
Katanya sejak Dharmendran ditahan polis pada 11 Mei 2013, beliau hanya beberapa kali ditugaskan untuk berurusan dengannya iaitu membawa Dharmendran bdari Ibu Pejabat Polis Dang Wangi ke IPK KL, membawanya berjumpa keluarga di IPK bKL dan membawa lelaki itu mengambil gambar untuk rekod polis.
"Saya tak banyak berurusan dengan Dharmendran memandangkan saya ada tugas atau operasi lain. Dharmendran masuk lokap (IPK KL) pada 13 Mei, hanya 19 Mei bawa jumpa keluarganya dan 21 Mei bawa Dharmendran ambil gambar," katanya.
Katanya, beliau juga hanya dimaklumkan mengenai kematian Dharmendran selepas tamat bertugas pada 21 Mei 2013 dan sudah pulang ke rumah.
Susulan kematian Dharmendran, empat anggota polis dari IPK KL ditahan dan bdidakwa atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa.
Pada 12 Disember 2014, Mahkamah Tinggi di sini membebaskan empat anggota polis itu daripada tuduhan membunuh kerana mendapati tiada prima facie terhadap mereka.
Perbicaraan bersambung Khamis.
#Dharmendran #kes kematian #Koperal #Penjara Sungai Buloh #reman
;