Anak hilang, ibu luluh dimaklumkan penemuan mayat
Sinar Harian
September 18, 2023 17:26 MYT
September 18, 2023 17:26 MYT
ALOR GAJAH: Luluh hati seorang ibu apabila dimaklumkan mengenai penemuan mayat dibunuh dan dibakar dipercayai anaknya di kawasan Hutan Percha, di sini minggu lalu.
Vathma, 55, berkata, walaupun polis belum mengesahkan itu adalah mayat anaknya, R Darvnrajh, 24, yang dilaporkan hilang sejak 10 September lalu, namun menerusi satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, Vathma mengakui lelaki yang dipukul tiga individu lain merupakan anaknya.
Menurutnya, kali terakhir anak sulungnya itu dilihat keluar rumah untuk menonton wayang bersama adik bongsu berusia 17 tahun dan rakan-rakannya pada 9 September lalu.
Katanya, sebelum kejadian, beliau berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri upacara keagamaan dan mangsa meminta kebenaran untuk keluar menonton wayang.
"Ketika itu saya berat hati nak membenarkan mangsa keluar rumah, namun selepas dipujuk suami dan anak, saya akhirnya membenarkan.
"Tapi bila saya tiba di rumah di Tampin, kira-kira jam 2.30 pagi pada 10 September, anak saya masih tiada di rumah dan kemudian kami melaporkan kehilangan mangsa di balai polis berdekatan," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Tambahnya, lebih menyedihkan, beliau bukan sahaja tidak dapat menyambut ulang tahun kelahiran anak sulung daripada dua beradik itu pada 10 September lalu, malah selepas beberapa hari dilaporkan hilang, mereka sekeluarga dimaklumkan dengan penemuan mayat dipercayai Darvnrajh.
Vathma turut memberitahu tidak mengetahui punca mangsa diperlakukan sedemikian rupa, sekali gus menolak kemungkinan disebabkan cemburu kerana anaknya tidak mempunyai teman wanita.
"Cuma sebelum kehilangannya dia ada memaklumkan kepada rakan untuk mencari pembeli motosikal lama jenis Yamaha 125Z miliknya.
"Dia beritahu wang sebanyak RM4,000 hasil jual motosikal itu untuk digunakan bagi perbelanjaan bekerja Lapangan Terbang Changi, Singapura tapi wang yang dia dapat pun tiada di rumah," katanya.
Difahamkan polis Melaka akan mengeluarkan kenyataan berhubung kes penemuan mayat dipercayai lelaki di Alor Gajah baru-baru ini.
Media pada Khamis lalu melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki yang hilang dan tidak pulang ke rumah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden Amiruddien Sariman berkata, lelaki tersebut iaitu R Darvnrajh, 24, kali terakhir dilihat bersama rakan-rakannya sekitar awal pagi 10 September lalu.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian