Anak harimau Malaya, Wira dan Hebat rai ulang tahun kedua
Hasimi Muhamad
Mei 1, 2021 22:07 MYT
Mei 1, 2021 22:07 MYT
KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun kedua anak harimau Malaya jantan, Hebat dan Wira sedikit pilu selepas ia diraikan tanpa seekor lagi adik-beradik mereka, Melur.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana mengesahkan bahawa anak harimau Malaya betina itu mati pada tahun lalu akibat lemas.
Bagaimanapun, Hebat dan Wira diberi layanan istimewa dengan dihidangkan kek daging sejuk beku pada hari kelahiran mereka.
“Pada ketika itu, dia (Melur) seekor sahaja yang tak nak masuk (dalam kandang). Jadi kita cuba untuk pujuk dia masuk tetapi dia tak masuk.
“Kita tahu kalau dia tak masuk dia akan main-main di luar sampai pagi dan itu pertama kali pengalaman kita nampak (Melur tak mahu masuk kandang).
“Harimau ini boleh berenang tetapi malangnya hari itu staf kita cari, dia sudah tenggelam jauh di dalam air,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa di Pusat Konservasi Panda Gergasi di Zoo Negara, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rosly berkata pihak Zoo Negara sentiasa memastikan kebajikan harimau Malaya di bawah jagaan mereka termasuk Hebat dan Wira terpelihara.
Walaupun Hebat dan Wira masih belum mencapai usia matang, namun kedua-dua anak harimau Malaya itu begitu sihat.
Ketika ini, berat Hebat dan Wira mencecah 100 kilogram (kg).
“Kita mempunyai staf yang banyak pengalaman dan tidak menjadi masalah untuk jaga haiwan ini.
“Dari awal sampai sekarang, dari disusu sehingga dia dah mula makan lapan kilogram sehari,” katanya.
Hebat, Wira, serta Melur dilahirkan pada tanggal 1 Mei 2019.
Ketiga-tiga anak harimau Malaya itu dinamakan secara rasmi oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Jelas Rosly lagi, sosialisasi harimau sangat penting untuk mengembangkan kemahiran dan tingkah laku haiwan itu.
Beliau dalam masa yang sama berkata, Zoo Negara menyasarkan 6,000 pengunjung pada Hari Raya Aidilfitri ini.
Setakat ini terdapat lapan ekor harimau Malaya di Zoo Negara.
Harimau Malaya atau lebih dikenali sebagai Pak Belang dikategorikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).
Selain itu, harimau Malaya adalah spesies yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.