Anak gajah Pygmy Borneo diselamatkan dari perangkap
Fifi Harteeny Marzuki
Ogos 16, 2018 12:20 MYT
Ogos 16, 2018 12:20 MYT
Seekor anak gajah jantan Pygmy Borneo yang cedera akibat terkena perangkap 'snare' berjaya diselamatkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dalam kejadian di Taliwas, Lahad Datu, baru-baru ini.
Pegawai Perhubungan Awam JHL Sabah, Siti Nur'Ain Ampuan Acheh berkata Unit Penyelamat Hidupan Liar dari jabatan berkenaan telah menangkap anak gajah tersebut pada petang Selasa lalu untuk sesi rawatan lanjut.
"Kita mendapati terdapat luka sedalam lima sentimeter di kaki kanannya dan sudah berulat. Selepas sesi rawatan diberikan, kawasan luka tersebut sudah menunjukkan tanda-tanda penyembuhan namun prognosis masih lagi dijaga.
"Rawatan umum telah diberikan kepada anak gajah tersebut dan rawatan luar pada kulit akan diteruskan sehingga sembuh. Kita juga akan meneliti keadaan anak gajah itu dari masa ke semasa untuk sembuh sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Siti, anak gajah yang berusia tujuh hingga sembilan itu akan dipindakah ke Sanctuary Borneo, Kinabatangan untuk rawatan dan pemerhatian lanjut.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seekor lagi anak 'gajah Borneo' ditemui mati terapung di sungai Kinabatangan pada Isnin lalu.
Beliau berkata, hasil bedah siasat menunjukkan anak gajah yang berusia dua hingga tiga tahun itu mengalami gastritis ulseratif yang menyebabkan kehilangan banyak darah dalam ususnya.
"Sampel organ dalaman telah diambil untuk analisa toksikologi dan bakterialogi. Pengesahan mengenai punca kematian hanya boleh dikenalpasti apabila keputusan analisis ini diperolehi," katanya.
Kes insiden gajah Pygmy mati di Sabah dilihat semakin kritikal selepas 21 ekor gajah direkodkan mati dari awal tahun sehingga pertengahan bulan ini.