Anak gajah jatuh sungai diselamatkan di Mersing

Bernama
September 14, 2020 04:58 MYT
Seekor anak gajah jantan yang jatuh ke dalam Sungai Endau, dekat Kampung Orang Asli Tanah Abang dekat Mersing, berjaya diselamatkan oleh Jabatan Perhilitan Johor petang semalam. --fotoBERNAMA
Seekor anak gajah yang jatuh ke dalam Sungai Endau, dekat Kampung Orang Asli Tanah Abang, dekat sini, berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung sebelum dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, pada Isnin.
Pengarahnya, Salman Saaban berkata penemuan anak gajah itu adalah hasil maklumat orang awam dan seramai empat kakitangan Pejabat Perhilitan Mersing telah digerakkan ke lokasi berkenaan.
Hasil siasatan pihaknya, anak gajah yang berusia kurang daripada seminggu itu dipercayai terjatuh ketika cuba menyeberangi Sungai Endau selepas terpisah daripada kawanannya.
"Anak gajah itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan terdapat hanya luka kecil lama di bahagian luaran badannya.
"Anak gajah tersebut telah dibawa ke Perhilitan Mersing bagi pemeriksaan lanjut oleh doktor veterinar jabatan dan seterusnya akan dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang untuk tujuan pemulihan," katanya dalam kenyataan.
Pada 14 Julai lalu, seekor anak gajah yang berkeliaran bersendirian di Batu 7, Jalan Kota Tinggi-Mersing berjaya diselamatkan Perhilitan Johor.
-- BERNAMA
#anak gajah #jatuh #Kampung Orang Asli #Kuala Gandah #Lanchang #Mersing #Pejabat Perhilitan Mersing #penduduk kampung #Perhilitan #Perhilitan Johor #Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan #Salman Saaban #selamat #Sungai #Sungai Endau #Veterinar
;