Anak gajah jantan ditemui mati di Kinabatangan
Ruzaini Zulkepli
Julai 22, 2018 18:39 MYT
Julai 22, 2018 18:39 MYT
Seekor anak gajah jantan ditemui mati dipercayai dengan kesan kecederaan akibat pergelutan dengan gajah lain di kawasan kem pembalakan terbiar berhampiran Hutan Simpan Kuamut, Kinabatangan, baru-baru ini.
Pegawai Perhubungan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Siti Nur’Ain Ampuan Acheh berkata, kejadian itu berlaku pada 19 Julai lalu (Khamis) selepas dimaklumkan oleh sekumpulan individu di lokasi berkenaan.
"Hasil siasatan awal mendapati bangkai gajah itu berusia antara lima hingga lapan tahun dan haiwan terbabit disyaki sudah mati sejak tiga hingga empat hari lalu.
"Berdasarkan bedah siasat yang dilakukan, anak gajah itu mengalami keretakan di bahagian kiri tengkoraknya sehingga menyebabkan kematian.
"Kecederaan itu mungkin disebabkan pergaduhan dengan kawanan gajah besar yang lain," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Ahad.
Menurut Siti Nur’Ain, pihak JHL Sabah turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan sebuah syarikat pembalakan di lokasi itu yang menyalurkan maklumat mengenai penemuan bangkai haiwan terbabit.
#anak gajah jantan
#bangkai
#Hutan Simpan Kuamut
#jabatan hidupan liar sabah
#Kem pembalakan terbiar
#Kinabatangan
#Siti Nur'Ain Ampuan Acheh