Anak direman bantu siasatan pembunuhan bapa

Bernama
Oktober 7, 2016 07:19 MYT
Lokasi kejadian pemandu teksi yang ditemui mati dibalut dengan tilam di Apartment Danau Kota. - Foto Bernama
Anak perempuan pemandu teksi yang ditemui mati dibalut dengan tilam di Apartment Danau Kota, Setapak, ditahan reman selama lima hari selepas disyaki memberi keterangan yang bercanggah dan meragukan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata ejen insuran berusia 30-an itu ditahan kira-kira 2.30 petang Khamis selepas memberi keterangan berhubung kejadian itu di Balai Polis Seri Petaling di sini.
"Berdasar keterangan wanita itu dia telah dikurung oleh dua lelaki selepas pulang dari kerja sejak Selasa lepas (4 Okt) dan salah seorang lelaki itu adalah bekas suaminya seorang warga Pakistan dikenali sebagai Sham.
"Wanita itu memujuk bekas suaminya untuk keluar makan selepas dua hari tidak diberi makan sebelum berjaya meloloskan diri menggunakan kereta ketika suspek keluar untuk membeli makanan di sebuah restoran makanan segera di Seri Petaling sebelum membuat laporan polis," katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.
Katanya, menurut wanita itu, beliau tidak mengetahui keadaan bapanya sepanjang ditahan, sehinggalah ternampak kaki bapanya di bawah tilam dalam satu bilik lain yang dipenuhi kesan darah di lantai dan dinding ketika hendak keluar.
"Berdasar keterangan awal pengadu kita dapati keterangan yang diberikan adalah bercanggah dan meragukan," kata Mohamad Roy Suhaimi.
Sehubungan itu, polis memburu dua lelaki termasuk seorang lelaki warga Pakistan, masing-masing berusia 20 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa mengesahkan laporan penemuan mayat itu kira-kira 12.40 tengah hari.
#Danau Kota #kes bunuh #kes jenayah #PDRM. polis
;