Anak didakwa bunuh ibu kandung, campak dalam lubang najis

Astro Awani
Oktober 4, 2018 12:48 MYT
Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Firdaus didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Faridah, 63. - Foto Astro AWANI
Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya sendiri, Faridah Mat Hashim, tiga minggu lepas.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohammad Firdaus Ismail, 29, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Firdaus didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Faridah, 63.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumah Lot 191 Mukim D, Sungai Burung antara jam 6.30 pagi hingga 8 malam, pada 19 September lalu.
BACA: Dilapor hilang, wanita warga emas dijumpai mati dalam lubang najis
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.
Nur Fadrina kemudian menetapkan 8 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Mohammad Firdaus juga tidak dibenarkan diikat jamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Biro Bantuan Guaman, Edmund Anthony Hermon.
Terdahulu, Edmund memohon kepada mahkamah untuk membenarkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital selepas ternampak tompokan kecil darah di bahagian mata kirinya.
Sebelum ini, polis mengesahkan suspek tidak mengalami masalah mental berikutan namanya tidak didaftarkan di mana-mana pusat psikiatri atau hospital mental.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A A Anbalagan dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan tertuduh hanya positif ketagihan petrol yang menyebabkan dia berkhayal dan berhalusinasi.
Pada 24 September lalu, mayat Faridah ditemukan didalam lubang najis selepas enam hari dilaporkan hilang.
Hasil siasatan polis suspek mengaku menusuk sebilah pisau ke leher ibunya sebelum mengelar leher mangsa hingga meninggal dunia.
Suspek kemudian bertindak membuang mayat ibunya ke dalam lubang kumbahan najis dibelakang rumahnya sebelum menghilangkan diri.
#Balik Pulau #bunuh #bunuh ibu #faridah mat hashim #hidu petrol #kumbahan #mahkamah #Mahkamah Majistret #mangsa #mayat #meninggal dunia #Mohammad Firdaus Ismail #tangki najis
;